Tuesday , 24 April 2018

Home » Dewan Rakyat » Rotan pelajar jalan terakhir

Rotan pelajar jalan terakhir

March 22, 2018 2:01 pm Category: Dewan Rakyat, Nasional A+ / A-
Rotan pelajar jalan terakhir

Datuk P Kamalanathan

KUALA LUMPUR,. Hukuman rotan adalah tindakan terakhir selepas amaran, denda dan kelas tahanan gagal membendung kes disiplin di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata ia selaras prosedur operasi standard (SOP) yang dirangka untuk pengurusan sekolah, sekali gus mewujudkan persekitaran terbaik dalam mendidik generasi pelapis.

Sehubungan itu, katanya, tindakan merotan tidak boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya, selain bukan dianggap sebagai perosak aspek fizikal pelajar.

“Merotan adalah kaedah untuk mendidik pelajar dan memberi pengajaran, berbanding meninggalkan kesan fizikal kepada penerima hukuman berkenaan.

“Oleh itu, tiga proses yang digariskan dalam SOP perlu dituruti iaitu mengambil tindakan memberi amaran, denda dan melaksanakan kelas tahanan sebelum tindakan merotan pelajar.

“Pimpinan sekolah iaitu guru besar dan pengetua harus ada pendekatan memaklumkan kepada ibu bapa mengenai pelaksanaan semua proses ini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Pasir Puteh) di Dewan Rakyat, hari ini.

Nik Mazian bertanya mengenai ancaman dan risiko dialami guru, termasuk menerima saman mahkamah ketika menjalankan tugas untuk mendidik pelajar.

Kamalanathan berkata, tanggungjawab mendidik pelajar adalah amanah yang perlu dipikul segenap masyarakat, berbanding meletakkan bebanan terbabit di bahu guru.

Menjawab soalan asal Dr Ismail Daut (BN-Merbok) mengenai usaha sedia kementerian dalam membendung peningkatan kes disiplin, Kamalanathan menjelaskan, perangkaan berhubung pembabitan murid dalam 10 jenis salah laku masih terkawal, iaitu 0.025 peratus.

“Kementerian turut menyediakan garis panduan, SOP kerja lengkap bagi memastikan keselamatan dan kebajikan guru serta murid,” katanya.

scroll to top