Wednesday , 19 December 2018

Home » Nasional » RUMAWIP capai sasaran lebih awal

RUMAWIP capai sasaran lebih awal

January 14, 2018 6:34 pm Category: Nasional A+ / A-
RUMAWIP capai sasaran lebih awal

KUALA LUMPUR,. Pembinaan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dijangka mampu mencapai sasaran lebih awal, menjelang pertengahan tahun ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata hingga Disember tahun lalu, sebanyak 71,554 unit atau 89.44 peratus RUMAWIP sudah dibangunkan sejak pelancarannya pada 2013.

Pembangunan projek itu pada masa kini adalah membabitkan status dalam kategori ‘Siap’, ‘Dalam Pembangunan’ dan ‘Kelulusan Perintah Pembangunan’.

Katanya, kementerian sebelum ini menyasarkan sebanyak 80,000 unit RUMAWIP dibangunkan menjelang 2020.

“Dalam beberapa projek, ada yang sudah diberi kunci kerana pemaju dapat menyelesaikan pembangunan lebih awal.

“Ada yang siap antara sembilan hingga 23 bulan lebih awal daripada yang ditetapkan,” katanya selepas Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Unit RUMAWIP Residensi Vista Wirajaya dan Vista Wirajaya 2, di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Adnan berkata, bagi tahun ini kerajaan menawarkan beberapa lagi projek RUMAWIP di lokasi strategik bagi membantu golongan sasar memiliki kediaman setaraf kondominium di ibu negara dengan harga mampu milik.

Sehubungan itu beliau mengingatkan bakal pemilik RUMAWIP mematuhi moratorium yang ditetapkan kerajaan bagi menjamin hartanah mereka dimanfaatkan sepenuhnya.

Sementara itu, sejumlah 953 unit kediaman RUMAWIP Resedensi Vista Wirajaya dan Vista Wirajaya 2 ditawarkan kepada warga Wilayah Persekutuan.

Sebanyak 300 unit diperuntukkan kepada kakitangan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Sebanyak 105 unit pula kepada penduduk asal yang terbabit dalam pembangunan di lokasi strategik itu berhampiran Stesen LRT Taman Melati.

scroll to top