Tuesday , 23 July 2019

Home » Sukan » Sabah Juara Liga Premier 2019

Sabah Juara Liga Premier 2019

July 10, 2019 5:48 am Category: Sukan A+ / A-
Sabah Juara Liga Premier 2019

KUALA LUMPUR,. Pasukan Sabah menamatkan penantian tujuh tahun untuk kembali ke saingan Liga Super, selepas menewaskan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM, Shah Alam, malam ini.

Kemenangan tipis berkenaan sudah cukup memadai untuk skuad Badak muncul juara Liga Premier dengan kutipan 40 mata, setelah pencabar terdekat mereka, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang mengutip 33 mata selepas 19 perlawanan, tewas di tempat lawan.

Untuk rekod, kali terakhir Sabah beraksi pada Liga Super 2012 yang menyaksikan mereka menduduki tangga ke-13.

Pada aksi di Shah Alam, UiTM FC berada di hadapan hasil jaringan Zarko Korac pada minit ke-30, sebelum Sabah bangkit menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti Rodoljub Paunovic pada minit ke-57 dan gol padang Aguinaldo Mendes Veiga pada minit ke-66.

267af9db119843cd082b0b7523c52c975d24c5cce5a81
JDT II pula tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sekali gus meranapkan harapan mereka untuk mengejar Sabah di puncak liga.

Tiga gol Negeri Sembilan dijaringkan Jose Almir Barros Neto pada minit ke-11, Matheus Fernandes Vila Real pada minit ke-62 dan Igor Carneiro Luiz pada minit ke-86, manakala gol tunggal JDT II disumbangkan Md Rozaimi Abd Rahman, menerusi sepakan penalti pada minit ke-28.

Dalam pada itu, UKM FC kembali menghidupkan peluang keluar daripada zon penyingkiran selepas menang bergaya 6-2 ke atas Selangor United, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Penyerang import dari Iran, Milad Zeneyedpour melakar jaringan hatrik untuk UKM FC pada minit ke-30, minit ke-36, dan minit ke-75, selain tiga gol daripada Syed Sobri Syed Mohd (minit ke-45), dan dua gol Mateo Roskam pada minit ke-53 dan minit ke-90.
7b7fd21af9e2ec1cceac67a2426f50115d24c5f56cf0b
Dua gol pasukan tuan rumah dihasilkan Hwang Sin-young pada minit ke-59, dan Nurshamil Abdul Ghani pada minit ke-66.

Dalam saingan Liga Super, Pahang meneruskan rentak kemenangan selepas mengatasi PKNS FC 3-2 pada aksi penuh dramatik di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Kemenangan ke-10 daripada 19 perlawanan itu, menyaksikan skuad Tok Gajah kekal di tangga kedua dengan kutipan 36 mata.

Tiga gol skuad Tok Gajah dijaringkan Mark Herald Goulon pada minit ke-30, Muslim Ahmad (minit ke-42) dan kapten pasukan, Matthew Davies pada minit ke-89, manakala dua gol pasukan pelawat disempurnakan oleh Kpah Sherman pada minit ke-60, dan Gabriel Guerra pada minit ke-65.

Dalam pada itu, Melaka melonjak dua anak tangga ke kedudukan ketiga liga selepas menang tipis 2-1 ke atas pasukan bawahan, PKNP FC di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Pasukan pelawat, bagaimanapun terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Giancarlo Rodrigues pada minit ke-13, sebelum skuad Hang Tuah bangkit meledak dua gol menerusi Davy Angan pada minit ke-42 dan Patrick Reichelt pada minit ke-59.

Terengganu FC (TFC) pula gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri, setelah seri 2-2 dengan Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dua gol skuad Penyu dijaringkan Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-32 dan kapten pasukan Kipre Tchetche pada minit ke-90, manakala dua gol Kedah disumbangkan Muhammad Shakir Hamzah seawal minit ketiga perlawanan dan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-45.

Terdahulu, pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof dilayangkan kad merah oleh pengadil Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim, pada minit ke-68 selepas mengutip kad kuning kedua.

— BERNAMA

scroll to top