Friday , 20 July 2018

Home » Bisnes » Saham DRB-Hicom meningkat berikutan cadangan usaha sama Proton-Indonesia

Saham DRB-Hicom meningkat berikutan cadangan usaha sama Proton-Indonesia

July 11, 2018 12:01 pm Category: Bisnes A+ / A-
Saham DRB-Hicom meningkat berikutan cadangan usaha sama Proton-Indonesia

KUALA LUMPUR,. Saham DRB-Hicom Bhd di Bursa Malaysia, meningkat pada dagangan awal pagi, hari ini, berikutan laporan bahawa konglomerat itu sedang mengkaji cadangan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia untuk menghasilkan kereta ASEAN.

Pada 9.51 pagi, saham berkenaan meningkat dua sen kepada RM2.10 dengan 1.51 juta saham bertukar tangan.

Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Syed Faisal Albar, berkata perbincangan mengenai perkara berkenaan sedang berjalan memandangkan memorandum persefahaman ditandatangani pada 2015 antara anak syarikatnya, Proton Holdings Bhd (PROTON) dengan sebuah syarikat Indonesia untuk membentuk usaha sama berkenaan.

“Tiada kos yang terbabit dan kami perlu menelitinya dengan lebih lanjut,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan.

PROTON dimiliki sebanyak 50.1 peratus oleh DRB-Hicom dan 49.9 peratus oleh syarikat pembuat kenderaan berpangkalan di China, Zhejiang Geely Holding Group, melalui anak syarikat milik penuhnya, Geely International (Hong Kong) Ltd.

Sebelum ini dilaporkan bahawa usaha sama antara PROTON dan Indonesia untuk menghasilkan kereta ASEAN disemak semula berikutan perbincangan antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo, bulan lalu.

– BERNAMA

scroll to top