Monday , 24 September 2018

Home » Bisnes » Saham Lotte merosot susulan isu rasuah

Saham Lotte merosot susulan isu rasuah

February 14, 2018 2:55 pm Category: Bisnes, Dunia A+ / A-
Saham Lotte merosot susulan isu rasuah

Pengerusi Kumpulan Lotte, Shin Dong-bin.

SEOUL,. Penahanan mengejut pemimpin firma terkemuka Korea Selatan, Lotte berikutan isu rasuah menyebabkan saham syarikat itu merosot dalam dagangan hari ini.

Ia berikutan kebimbangan pelabur mengenai ketiadaan pemimpin dalam masa yang disifatkan mencabar bagi konglomerat kelima terbesar di negara berkenaan.

Mahkamah Pusat Seoul semalam menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan enam bulan ke atas Pengerusi Kumpulan Lotte, Shin Dong-bin berkaitan kes skandal pengaruh yang menjejaskan perniagaan dan politik negara itu.

Banyak pihak menjangka Shin hanya akan digantung dari jawatannya berikutan skandal berkenaan.

Hukuman penjara yang diterima itu dijangka menyekat usaha Lotte untuk menyelaraskan pelan pelaburan yang dibuat bagi mengimbangi kerugian yang dialami di China.

Penganalisis berkata ia juga membuka ruang untuk mencetuskan semula pertelingkahan keluarga.

“Lotte Group kini sedang berkembang. Kebanyakan perniagaannya adalah di peringkat domestik. Shin telah cuba untuk mengembangkan perniagaan Lotte di luar negara dengan menambah jumlah perniagaan kimia dan peruncitan di Asia, bagaimanapun ia dijangka akan tertangguh, sekurang-kurangnya sehingga rayuan dikemukakan,” kata Ketua Penyelidik CEO Score, Park Ju-gun.

Saham Lotte Corp, syarikat induk Lotte Group susut lebih daripada tujuh peratus ke paras terendah dalam tempoh hampir lapan minggu, manakala peruncit utamanya, Lotte Shopping susut 5.5 peratus, menjadikannya berada pada mata terendah sejak awal Januari.

Lotte Group dalam satu kenyataan berkata, selepas penahanan Shin pada Selasa, pihaknya akan memulakan operasi kecemasan bagi menenangkan pihak yang berkepentingan.

Penganalisis berkata, mereka menjangka Ketua Eksekutif Bersama syarikat induk di Korea Selatan itu, Hwang Kag-gyu akan mengambil alih kepimpinan tetapi keputusan utama berkemungkinan akan ditangguhkan dulu.

Perbicaraan bagi rayuan Shin dijangka berlangsung pada bulan hadapan.

– REUTERS

scroll to top