Tuesday , 23 July 2019

Home » Bisnes » Samsung Electronics jangka untung operasi Q2 susut lebih separuh

Samsung Electronics jangka untung operasi Q2 susut lebih separuh

July 5, 2019 11:43 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Samsung Electronics jangka untung operasi Q2 susut lebih separuh

SEOUL,. Gergasi teknologi Korea Selatan, Samsung Electronics Co Ltd, hari ini berkata keuntungan operasinya pada suku kedua (Q2) berkemungkinan jatuh 56 peratus daripada tahun sebelumnya.

Penurunan dalam penghantaran cip memori kepada pengeluar peralatan telekomunikasi Cina, Huawei Technologies yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS), memburukkan lagi keadaan menyebabkan lebihan bekalan dan memberi tekanan dengan menolak turun harga cip, kata penganalisis.

Keuntungan operasi April-Jun berkemungkinan besar berjumlah 6.5 trilion won (AS$5.6 bilion), kata Samsung dalam satu kenyataan yang difailkan di bursa saham tempatan, sebelum ia mengeluarkan angka rasmi akhir bulan ini.

Pengeluar cip memori dan telefon pintar terkemuka di dunia itu terkesan daripada perang perdagangan AS-China, dan mungkin juga akan menerima kesan negatif daripada kekangan Jepun baru-baru ini berkaitan eksport bahan berteknologi tinggi ke Korea Selatan.

Pendapatan syarikat itu dijangka berkurangan sebanyak 4.2 peratus daripada tahun sebelumnya kepada 56 trilion won, kata firma itu. – Reuters

scroll to top