Wednesday , 12 December 2018

Home » Bisnes » Samsung Galaxy Note 9 tampil ciri-ciri dipertingkatkan

Samsung Galaxy Note 9 tampil ciri-ciri dipertingkatkan

August 10, 2018 11:32 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Samsung Galaxy Note 9 tampil ciri-ciri dipertingkatkan

KUALA LUMPUR,. Samsung Electronics Co Ltd (Samsung) memperkenalkan siri terbaru kepada rangkaian Note premiumnya, Galaxy Note 9 yang didatangkan bersama S Pen dipertingkatkan serta kamera pintar dengan prestasi luar biasa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian IT dan Komunikasi Mudah Alih Samsung, DJ Koh, berkata Galaxy Note9 adalah legasi telefon pintar premium yang sentiasa menampilkan prestasi yang mengagumkan sejak penampilan sirinya yang pertama.

Beliau berkata, model baharu itu mempunyai kelebihannya tersendiri apabila ia mampu bertahan sepanjang hari meskipun digunakan secara terus kerana didatangkan bersama kapasiti bateri 4,000mAh iaitu terbesar dari siri Galaxy.

“Kami mengetahui siri Galaxy Note sentiasa mempunyai peminat setianya yang tersendiri yang mahu melakukan pelbagai aktiviti dengannya, jadi siri baharu ini didatangkan dengan dua pilihan storan dalaman iaitu 128GB atau 512GB.

“Malah, dengan kemudahan untuk memasukkan kad mikro SD, Galaxy Note 9 kini bersedia untuk menyediakan ruang simpanan sehingga 1TB.

“Lebih menarik lagi, pengguna tidak perlu bimbang apabila menggunakan telefon pintar ini secara berterusan kerana ia juga mempunyai sistem Water Carbon Cooling serta penyesuaian prestasi berteraskan kepintaran buatan (AI),” katanya ketika berucap pada majlis pelancarannya melalui penstriman secara langsung dari New York, Amerika Syarikat (AS), malam tadi.

Galaxy Note 9 mempunyai paparan 6.4 inci Super AMOLED Infinity yang memberikan pengguna dengan pengalaman multimedia yang luar biasa selain disertakan dengan pembesar suara stereo serta dapat menghasilkan audio Dolby Atmos yang luar biasa.

Koh berkata, siri baru itu mempunyai keunikannya tersendiri apabila pengguna dapat menyaksikan revolusi dari ciri S Pen yang berkembang dengan pelbagai fungsi dan kelebihan.

“Dengan sokongan Bluetooth Low-Energy (BLE), S Pen baharu itu berkeupayaan untuk menyampaikan cara baharu dalam mengendalikan Note9,” katanya.

Selain itu, ia juga diperhebatkan dengan kamera pintar yang mampu mengesan sehingga 20 elemen dalam sesebuah gambar yang dirakam dan memberikan hasil fotografi yang dinamik dan warna yang jelas.

Galaxy Note 9 mempunyai tiga pilihan warna iaitu Midnight Black, Ocean Blue dan Metallic Copper yang dipadankan dengan S Pen berwarna kuning.

Siri Note baharu itu boleh mula didapati di pasaran Malaysia pada 24 Ogos ini pada harga runcit RM3,6999 (128GB) dan RM4,599 (512GB).

Sempena pelancarannya di Malaysia, Samsung Malaysia Electronics mengumumkan promosi pratempahan pada tempoh terhad bermula hari ini sehingga 19 Ogos ini.

Tempahan bagi Galaxy Note 9 512GB akan menerima Gear Sports, Gear Sports Strap dan Wireless Charger bernilai lebih RM1,531, manakala bagi Note 9 128GB akan menerima Gear Sports berharga RM1,219.

scroll to top