Friday , 16 November 2018

Home » Artikel Pilihan » Sarawak antara survival politik, desakan rakyat

Sarawak antara survival politik, desakan rakyat

June 13, 2018 9:25 am Category: Artikel Pilihan, Nasional, Politik A+ / A-
Sarawak antara survival politik, desakan rakyat

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) berpegangan tangan dengan para pemimpin parti PBB, PRS, PDP dan SUPP selepas mengadakan mesyuarat khas. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hari ini sebulat suara mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN). Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan perkata tersebut berkata keempat-empat parti tersebut akan mewujudkan Gabungan Parti Sarawak (GPS). - Foto BERNAMA

Maka benarlah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dikatakan sebagai ‘ibu segala pilihan raya’ dalam sejarah amalan demokrasi Malaysia sejak usia negara merdeka ini terbentuk 61 tahun lalu.

Ia tidak hanya memperlihatkan pelbagai kejutan, khususnya ‘kebangkitan rakyat’ yang menyebabkan peralihan kuasa Kerajaan Persekutuan, sekali gus mencipta sejarah ‘Malaysia Baharu’.

Bahkan, keputusan pada hari berkenaan turut memperlihatkan perubahan drastik landskap politik di beberapa negeri yang selama ini dilabelkan sebagai ‘simpanan tetap’ atau ‘kubu kuat’ Barisan Nasional (BN), khususnya Sarawak.

Bayangkan, sejak berpuluh-puluh tahun lamanya BN mendominasi majoriti kerusi Parlimen dipertandingkan di Bumi Kenyalang, ia akhirnya sekadar selesa dengan 19 kerusi dimenangi, selepas hilang lima kerusi dikuasai dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ia sama sekali bercanggah dengan sasaran awal apabila pucuk pimpinan BN Sarawak yang sebelum itu terlalu yakin mampu memenangi antara 28 hingga 29 dari 31 kerusi yang dipertandingkan tanpa menyedari berlaku perubahan trend sokongan rakyat pada peringkat akar umbi, khususnya di pedalaman dan luar bandar.

‘Episod duka’ BN di Sarawak

Dari situlah bermulanya kronologi ‘episod duka’ BN di Sarawak, yang akhirnya sampai ke titik noktahnya apabila Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg merangkap Ketua Menteri mengumumkan parti itu memutuskan keluar daripada komponen itu berkuat kuasa semalam.

Selain PBB, turut sama membuat keputusan itu ialah tiga lagi rakan komponennya, iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) selepas mengadakan mesyuarat khas di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di Kuching.

Ia barangkali pengumuman yang cukup mengejutkan segelintir pihak, namun bagi pemerhati politik, ‘gerakan’ itu sudah dapat dibaca atau dihidu dari awal, malah seawal pada malam keputusan penuh PRU-14 diumumkan lagi, yang disifatkan sebagai ‘tindakan strategik’.

Pengisytiharan keluar BN tentunya mempunyai kaitan dengan cabaran, konflik dan dilema dihadapi kerajaan negeri ini sebagai sebuah kerajaan pembangkang.

Prestasi buruk BN pada PRU-14 memberikan isyarat jelas betapa rakyat secara majoritinya menolak BN. Biar apapun alasan diberikan, sama ada tewas atas alasan persepsi atau realiti, BN tetap ditolak.

Malah, sentimen ini jugalah faktor pendorong kepada pengumuman ‘keluar BN’ sehingga tercetusnya Gabungan Parti Sarawak (GPS). Jika dilihat dari perspektif ‘sempit dan dangkal’, gabungan baharu ini kelihatan seolah-olah sudah hilang dahan untuk berpaut. Namun, jika dilihat dari dimensi lebih luas, langkah itu memberi kelebihan dalam usaha memastikan kelestarian perancangan dan pembangunan serta kesejahteraan ‘Anak Sarawak’, selain survival politik yang juga berpotensi menerima tempias dan turut sama tersungkur sekiranya tidak diberikan perhatian.

Usaha kembalikan hak

Jadi, jika dilihat perkembangan ini dari konteks lebih besar, pengumuman keluar parti ini sebaliknya akan memperkukuhkan lagi gabungan parti tempatan tanpa terlalu terikat statusnya sebagai sebuah parti komponen, malah hanya bersifat mesra Kerajaan Persekutuan.

Hubungan baik dan saling bergantungan Pusat – negeri tidak dinafikan cukup signifikan. Dengan segala perancangan dan projek yang sedang dirancang, hakikatnya menjadi negeri pembangkang, sudah pasti meletakkannya dalam keadaan berisiko atau terbantut.

Isu ini mungkin dianggap selesai, namun realitinya banyak cabaran mendatang perlu dihadapi, begitu juga pelbagai persoalan berkaitan perlu dirungkai kelak. Mungkin, keputusan ini juga mampu memberi impak positif terhadap usaha mengembalikan segala hak dan keistimewaan negeri yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung kemelut melanda PETRONAS – kerajaan Sarawak berhubung Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA1974).

Barangkali, situasi terkini ini mampu mewujudkan suasana lebih harmoni dan mesra dalam mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung semua isu berkenaan, yang mampu memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak bagi tempoh jangka panjang kerana kini boleh bercakap dalam ‘nada sama’.

Kedudukan PH

Sementara itu, kemelut baharu yang akan mencuri tumpuan ialah kedudukan Pakatan Harapan (PH) sendiri di Sarawak. Dari segi pendirian politiknya, DAP dan parti seangkatannya, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) adalah komponen ‘sah’ PH yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) pada 2021. Ini sudah pasti menimbulkan konflik baharu antara kerajaan pembangkang yang mesra PH dan parti parti komponen PH itu sendiri.

Sudah terdengar juga tohmahan menganggap pengumuman ini bagi menidakkan komponen PH menguasai Sarawak. Ini satu perkembangan yang tidak boleh dipandang remeh. Jika tekanan ini berlaku, di mana kedudukan GPS nanti? Satu lagi sentimen sedang hangat diperkatakan kebelakangan ini adalah dilema yang menyentuh fokus terhadap tujahan dan pembangunan dibawa kerajaan negeri.

Antara kelangsungan infrastruktur asas dengan hala tuju agenda pembangunan teknologi yang sedang giat dilaksanakan mana satukah perlu didahulukan? Jika skop perbincangan difokuskan kepada aspek ini, dari kaca mata masyarakat sama ada keluar parti atau tidak, ia tidak memberikan apa-apa perubahan. Jika tidak dilihat secara serius, ini juga kelihatan tidak membawa apa-apa kepentingan bagi golongan tertentu.

Cabaran kepemimpinan

Lalu, ia akan terus dijadikan sentimen yang kekal. Maka, tidak hairanlah cabaran besar lain akan dihadapi kepemimpinan negeri adalah sikap banding membandingkan antara kepemimpinan era Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan) dan era hari ini. Pendekatan Tok Nan dikatakan lebih menjurus kepada pembangunan asas yang lebih mesra dan dekat dengan keperluan rakyat, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Niat murni kepemimpinan hari ini pula sebenarnya amat baik dengan hasrat membawa kemajuan teknikal dan teknologi, termasuk berpaksikan ekonomi digital. Namun, malangnya ia kurang difahami dan dirasai masyarakat secara menyeluruh. Akibatnya, biarpun hasrat keluar parti sebagai gambaran kesungguhan kerajaan membela dan membuktikan kepada masyarakat tempatan bahawa ia bertujuan menguntungkan rakyat Sarawak, namun tidak membawa apa-apa kesan bagi golongan ini.

Pengumuman keluar BN itu satu keputusan dibuat atas nama kemakmuran, keharmonian dan nilai sejagat yang berupaya menguntungkan rakyat Sarawak. Namun, satu lagi aspek yang menjadi cabaran besar kepada kerajaan negeri adalah desakan dan hasrat masyarakat yang mahu melihat perubahan individu dalam kepemimpinan kerajaan itu sendiri. Maka, masih terlalu banyak isu terpaksa difikirkan yang boleh memberikan impak besar terhadap keputusan dan hala tuju kerajaan negeri daripada hanya keluar parti.

Penulis adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

scroll to top