Thursday , 18 January 2018

Home » Nasional » Sarawak kekal ‘kubu kuat’ BN

Sarawak kekal ‘kubu kuat’ BN

January 13, 2018 9:50 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Sarawak kekal ‘kubu kuat’ BN

Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg

KUCHING,. Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menggalas tanggungjawab besar mempersiapkan jentera pasukannya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ia pilihan raya terbesar bakal diketuainya selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, Mac tahun lalu susulan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Adenan Satem, yang menyaksikan balunya, Puan Sri Jamilah Anu menang besar.

Jentera parti usah leka

Beliau berkata, walaupun Sarawak ‘kubu kuat’ BN, ia bukan ‘kedudukan selesa’, malah mengingatkan jentera parti supaya tidak leka atau alpa.

Katanya, segala persiapan sudah dilakukan bagi memastikan negeri ini terus kekal sebagai penyumbang kerusi terbesar untuk BN pada PRU-14.
13bhabg1.transformed
“Faktor umur, prestasi khidmat dan maklum balas pelbagai agensi risikan antara perkara diambil kira dalam menentukan calon pilihan BN Sarawak. Saya akui ada penyandang kerusi, khususnya dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan digugurkan dan digantikan muka baharu berdasarkan faktor penerimaan akar umbi.

“Kita memerlukan muka baharu kerana sekarang berada dalam proses transformasi, namun ia belum muktamad. Kita masih melakukan proses ‘imbas dan periksa’ latar belakang calon berpotensi,” katanya.

Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini membayangkan semua calon BN pada PRU-14, sama ada muka lama atau baharu, perlu ‘bersih’ dari pelbagai isu berkaitan rasuah, jenayah, muflis dan kewarganegaraan.

Abang Johari berkata, faktor usia turut diambil kira dalam aspek penentuan calon supaya seiring dengan keupayaannya mendokong gagasan BN sama ada pada peringkat Pusat mahupun negeri.

Beliau mengakui sudah memiliki senarai calon tetapi terpaksa menunggu sehingga tarikh pengumuman dibuat kerana perubahan boleh berlaku pada saat akhir.

BN Sarawak mampu kekalkan ‘status quo’

Mengulas sasarannya pada PRU-14, beliau berkata, BN Sarawak mampu mengekalkan status quo dan jumlah kerusi sedia ada bersandarkan keyakinan dan sokongan semasa termasuk kematangan berpolitik dalam kalangan ‘Anak Sarawak’.

Katanya, berdasarkan maklumat, BN Sarawak diyakini mampu menawan semula sekurang-kurangnya dua atau tiga lagi kerusi yang dikuasai pembangkang.

Sementara itu, Abang Johari berkata, beliau memiliki formula sendiri dalam menangani konflik dalaman beberapa parti komponen BN Sarawak dan parti serpihan masing-masing.

“Kita mahu catat kemenangan bergaya pada PRU-14. Ini penting bagi memastikan kelangsungan agenda pembangunan kita untuk membawa Sarawak ke era kegemilangan,” katanya.

Selain PBB, BN Sarawak memiliki tiga lagi parti komponen iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP).

Pada PRU-13, BN Sarawak menguasai 25 daripada 31 kerusi dipertandingkan, manakala lima kerusi dimenangi DAP dan PKR (1).

scroll to top