Sunday , 19 August 2018

Home » Dunia » Satu maut, 15 pendaki terkandas di Gunung Hood

Satu maut, 15 pendaki terkandas di Gunung Hood

February 14, 2018 11:12 am Category: Dunia A+ / A-
Satu maut, 15 pendaki terkandas di Gunung Hood

Seorang pendaki terbunuh selepas terjatuh dari ketinggian 305 meter di Gunung Hood. - Foto Reuters

TIMBERLINE LODGE, Oregon,. Seorang pendaki terbunuh selepas terjatuh dari ketinggian 305 meter di Gunung Hood di sini, manakala 15 yang lain terkandas di lereng gunung berkenaan sejak semalam.

Pegawai pejabat sherif daerah Clackamas, Brian Jensen, berkata, pendaki terbabit yang pada mulanya cedera diterbangkan ke Pusat Perubatan Legacy Emmanuel di Portland, tetapi meninggal dunia sejurus tiba di hospital berkenaan.

Akhbar The Portland Oregon yang memetik kenyataan penyelaras penyelamat, Scott Lucas, berkata mangsa mengalami cedera parah pada bahagian muka, ketika ditemui pasukan penyelamat.

Gunung Hood menerima kehadiran 8,000 hingga 10,000 pendaki dari seluruh dunia yang cuba menakluk puncak setinggi 3,429 meter itu.

Dikategorikan sebagai gunung berapi yang berpotensi untuk kembali aktif, ia diiktiraf sebagai gunung tertinggi di Oregon dan dapat dilihat dengan jelas dari Portland, kira-kira 97 kilometer di bahagian barat.

Seorang pendaki, Wyatt Peck, 26 berkata, gunung terbabit dipenuhi lereng berais yang sangat curam.

“Jika anda tergelincir dan tidak sempat membenamkan kapak pada ketulan ais itu, anda akan terus terjatuh. Itulah yang dikatakan terjadi kepada mangsa,” katanya.

– Reuters

scroll to top