Thursday , 20 June 2019

Home » Nasional » “Saya pernah mengalah kepada Mohamed Idris” – Anwar Ibrahim

“Saya pernah mengalah kepada Mohamed Idris” – Anwar Ibrahim

May 19, 2019 4:47 am Category: Nasional A+ / A-
“Saya pernah mengalah kepada Mohamed Idris” – Anwar Ibrahim

GEORGE TOWN,. Ketegasan S M Mohamed Idris dalam memperjuangkan hak-hak pengguna telah terbukti sehinggakan kerajaan pernah terpaksa akur dengan tuntutannya untuk memastikan pengguna sentiasa terbela.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi pengalamannya sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu, Mohamed Idris telah mengutarakan pelbagai isu berhubung pembelaan pengguna dan rakyat untuk menegaskan pendirian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang dipimpinnya.

“Saya masih ingat saya terpaksa mengalah dengan Allahyarham (Mohamed Idris) melibatkan beberapa isu sewaktu beliau dalam kerajaan suatu ketika dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pengebumian tokoh kepenggunaan itu di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak di sini.

Mohamed Idris, 93, meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleaneagles (GMC), di sini pada pukul 5.00 petang semalam akibat sakit tua.

Dilahirkan pada 6 Dis 1926, Allahyarham merupakan pengasas CAP pada tahun 1969 selain menjadi pengerusi Sahabat Alam Malaysia dan pernah menjadi penerima Anugerah Tun Abdul Razak pad 2014 bagi sumbangannya kepada komuniti dan alam sekitar.

Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson berkata pemergian Mohamed Idris merupakan satu kehilangan besar kepada negara kerana Allayahrham bukan sahaja tokoh kepenggunaan malah tokoh besar kepada negara terutama dalam memperjuangkan hak rakyat dan orang miskin.

Katanya Allahyarham merupakan seorang yang tegas dalam mempertahankan hak rakyat terpinggir terutama dalam isu perumahan di kawasan sesak malah beliau berani mempersoalkan beberapa dasar pembangunan negara yang mengenepikan pertimbangan persekitaran serta keselamatan orang ramai.

“Allahyarham juga seorang tokoh aktivis masyarakat yang tegas dan tidak berganjak dengan pendiriannya, beliau bukan hanya dihormati dalam kalangan umat Islam, malah turut disanjungi bukan Islam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pengebumian Mohamed Idris di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Yussof Latiff berkata beliau kehilangan seorang sahabat karib yang sudah dikenalinya lebih 50 tahun dan bersama-sama aktif berjuang menerusi platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Selepas dimaklumkan Allahyarham meninggal pukul 5.00 petang semalam, saya sangat terkejut dan terus menghubungi anaknya untuk mengetahui lebih lanjut. Memang sedih dengan pemergian beliau kerana Mohamed Idris seorang yang baik dengan saya,”katanya.

Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang P Murugiah turut mengucapkan takziah kepada keluarga Mohamed Idris atas pemergian Allahyarham yang banyak membantu dan sangat berjasa kepada persatuannya.

— BERNAMA

scroll to top