Friday , 19 April 2019

Home » Nasional » Saya sudah sihat, badan bertambah ringan – Mohamed Azmin

Saya sudah sihat, badan bertambah ringan – Mohamed Azmin

February 10, 2019 6:12 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Saya sudah sihat, badan bertambah ringan – Mohamed Azmin

Mohamed Azmin (tengah) merasmikan Program Semarak Srikandi Keadilan Malaysia di Emperi Hotel.

SUBANG JAYA,. Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kembali memulakan tugas beliau walaupun diberikan cuti sakit selama sebulan hingga 1 Mac ini.

Beliau yang hadir pada program PKR, berkata alhamdulillah pembedahan (membuang batu pada hempedu) berjalan lancar dan berjaya pada 1 Februari lalu.

“Pembedahan berjalan lancar, sempurna dan saya memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenainya (pembedahan) tiga minggu lalu, namun menangguhkannya kerana beberapa prosedur perlu dipatuhi.

“Pembedahan ditangguhkan sehingga cuti Tahun Baharu Cina …saya dibenarkan keluar hospital pada hari kedua sambutan Tahun Baharu Cina untuk berehat di rumah,” katanya apabila ditemui media selepas pelancaran Program Semarak Srikandi PKR di sini, hari ini.

Mohamed Azmin pada awalnya membatalkan kehadirannya pada majlis itu dan digantikan dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, namun membuat kejutan apabila muncul pada jam 3 petang.

Beliau yang dilihat sedikit kurus, mengakui pada awalnya memang memaklumkan tidak dapat hadir tetapi tetap hadir selepas doktor berpuashati dengan keadaan kesihatannya pada pemeriksaan sebelah pagi.

“Saya diberikan cuti sakit selama sebulan bermula 1 Februari lalu hingga 1 Mac ini, tapi saya tidak biasa cuti lama dan semalam pun sudah memulakan tugas di pejabat kerana ada beberapa perkara mendesak perlu diselesaikan.

“Saya terus bekerja dan berhubung dengan pegawai kementerian kerana ada banyak rancangan kami belum selesai termasuk lawatan ke beberapa negeri tetapi saya kini bekerja lebih santai berbanding sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata beliau kembali bertugas bagi memastikan usaha kerajaan dapat memulih ekonomi negara dan membantu rakyat menghadapi masalah kos sara hidup yang meningkat serta menurunkan harga barang.

“Perdana Menteri memberikan pesanan yang jelas kepada Kabinet perlunya kerjasama semua pihak dalam menangani isu ekonomi ini,” katanya.

Mengenai khabar angin beliau bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah, Mohamed Azmin berkata beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu.

“Saya dibius waktu itu dalam bilik pembedahan,” katanya

Ditanya mengenai prestasi kesihatannya, beliau berkata doktor berpuashati, malah berat badannya turun 10 kilogram (kg) kepada 79 kg.

“Namun, doktor memberi amaran jangan terlalu cergas selepas melihat pergerakan saya melalui media sosial dan terus mengikut nasihatnya supaya patuh makan ubat. Insya Allah saya ikuti.

“Saya sudah sihat, badan saya bertambah ringan. Jadi, mudah saya bergerak (membantu kempen Pilihan Raya Kecil Semenyih),” katanya.

scroll to top