Friday , 15 December 2017

Home » Nasional » Sayap UMNO Akan Pastikan Kemenangan BN Dalam PRU14

Sayap UMNO Akan Pastikan Kemenangan BN Dalam PRU14

December 7, 2017 7:28 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Sayap UMNO Akan Pastikan Kemenangan BN Dalam PRU14

KUALA LUMPUR,. Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2017 hari ini dipenuhi dengan ucapan yang membawa mesej bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) perlu menjadi keutamaan dalam cubaan merampas majoriti dua per tiga Parlimen yang tidak dicapai semasa PRU 2008 dan 2013.

Perwakilan mendengar dengan penuh perhatian setiap perkataan yang diucapkan Ketua Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsuddin ketika mereka menggariskan resipi bagi memperoleh mandat lebih besar bagi Barisan Nasional (BN), dengan UMNO adalah parti tunjangnya.

Khairy dilihat lantang bersuara apabila meminta para perwakilan memberi perhatian semasa beliau menyampaikan ucapan dasarnya di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bangunan yang menempatkan ibu pejabat UMNO di ibu negara.

Menteri Belia dan Sukan yang berkelulusan Oxford itu ternyata tidak mengecewakan dengan ucapan yang membangkitkan semangat dengan beliau menyelitkan satu kisah meyakinkan tentang mengapa UMNO dan gabungan BN yang memerintah perlu dikembalikan kuasa dalam PRU yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Dalam membentangkan kesnya supaya keputusan PRU14 memihak kepada BN, Khairy nampaknya telah melakukan penyelidikannya, menyokong hujahnya dengan fakta dan angka yang dikaji dengan baik selain mendedahkan bahaya nostalgia dongeng tentang pentadbiran terdahulu serta harapan palsu yang ditabur pembangkang.

“Apa yang saya tidak boleh terima ialah mitos yang diterima oleh sebahagian daripada kita hari ini…iaitu pada masa dahulu, segala-galanya sempurna tetapi kini perkara semakin buruk,” katanya.

Ia merupakan rujukan jelas kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah berpaling arah kepada pembangkang dan kini mengetuai usaha memburuk-burukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Khairy turut menyentuh mengenai usaha yang dilakukan pentadbiran Najib untuk membetulkan pembangunan tidak seimbang di negara ini yang berpunca daripada dasar-dasar kerajaan terdahulu serta perjanjian berat sebelah yang menurutnya membebankan negara dan rakyat hari ini.

Beliau juga mengkaji dengan teliti tentang tipu daya pembangkang khususnya mengenai dakwaan mereka untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Hasil kutipan GST tahun lepas berjumlah RM41 bilion.

“Jumlah RM41 bilion tidak akan masuk ke poket sesiapa…duit ini digunakan untuk membuat jalan raya, membina lebuh raya, membiayai pendidikan tinggi, menaik taraf sekolah, membayar operasi hospital dan klinik kerajaan, pelbagai perkara,” katanya.

Pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO pula, Shahrizat turut sama bersuara mengenai risiko yang dihadapi menjelang pilihan raya apabila beliau menggambarkan apa yang BN berikan untuk pengundi.

“Di sebelah kanan adalah kerajaan persekutuan di bawah parti yang diketuai Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu BN, yang mana kita tahu rekod prestasi parti itu dalam menjaga rakyat.

“Di sebelah kiri pula ialah kerajaan yang dibentuk oleh kroni DAP. Adakah rakyat sanggup menyerahkan negara yang kita cintai kepada pemimpin cauvinis yang agenda mereka benar-benar mengganggu kita?” katanya dan disambut laungan ‘tidak sanggup’ daripada perwakilan.

Dalam kaukus Puteri UMNO pula, Mas Ermieyati menggariskan keperluan anggotanya untuk menarik pengundi di setiap ceruk kawasan.

Beliau turut menyeru agar usaha ditingkatkan untuk menangkis pembohongan pembangkang.

Perhimpunan agung sayap-sayap itu diadakan bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO pada 5 hingga 9 Dis ini.

— BERNAMA

scroll to top