Tuesday , 23 July 2019

Home » Bisnes » SC beri ingatan kepada pelabur agar berwaspada dengan ICO dan DAX tidak dibenarkan

SC beri ingatan kepada pelabur agar berwaspada dengan ICO dan DAX tidak dibenarkan

July 5, 2019 7:10 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
SC beri ingatan kepada pelabur agar berwaspada dengan ICO dan DAX tidak dibenarkan

KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengingatkan kepada orang ramai agar berwaspada dengan Tawaran Syiling Awal (ICO) dan Bursa Aset Digital (DAX) yang tidak dibenarkan.

SC dalam satu kenyataan hari ini berkata suruhanjaya itu tidak membenarkan sebarang aktiviti ICO selagi garis panduannya tidak dimuktamadkan.

“Sebarang penawaran aset digital, serta aktiviti berkaitan dengannya seperti pemasaran atau mempelawa orang ramai melanggan ICO, perlu mendapatkan kebenaran daripada SC,” kata suruhanjaya itu sambil menambah ini adalah sejajar dengan penguatkuasaan Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Preskripsi Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 (Perintah Preskripsi) pada 15 Jan, 2019.

Suruhanjaya itu juga mengingatkan pelabur tentang risiko berkaitan dengan skim ICO, iaitu kesulitan untuk mengesahkan kesahihan ICO sekiranya penerbit tidak mempunyai operasi fizikal di Malaysia dan untuk mendapatkan balik wang yang dilabur mungkin tertakluk kepada undang-undang asing.

Ia juga berkata penglibatan individu yang tidak dibenarkan meningkatkan risiko dan pendedahan kepada penipuan, pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

“ICO mungkin distruktur sedemikian rupa untuk mengehadkan perlindungan undang-undang dan rekursa bagi pelabur terhadap penerbit ICO serta risiko keselamatan siber termasuk penggodaman dan pencurian maklumat peribadi dalam talian,” kata suruhanjaya itu.

Mengenai DAX, SC berkata sehingga 4 Jun, 2019, ia hanya mendaftar tiga pengendali pasaran (RMO) untuk mengoperasikan DAX di negara ini, iaitu Luno Malaysia Sdn Bhd, SINEGY Technologies (M) Sdn Bhd and Tokenize Technology (M) Sdn Bhd yang diberi masa sembilan bulan untuk mematuhi sepenuhnya keperluan kawal selia.

“Selain tiga pengendali ini, tidak ada platform dalam talian lain dibenarkan untuk mengoperasikan DAX di Malaysia ketika ini. Oleh itu, semua pengendali DAX lain diminta untuk menamatkan serta merta semua aktiviti berkaitan dengan dagangan aset digital dan memulangkan semua wang dan aset yang diterima daripada pelabur,” kata suruhanjaya itu sambil menambah ia juga terpakai kepada pengendali yang berada dalam senarai tempoh peralihan awal SC.

Orang ramai boleh mengesahkan pengendali digital berdaftar di laman web https://www.sc.com.my/development/digital/digitalassets.

— BERNAMA

scroll to top