Thursday , 20 September 2018

Home » Nasional » ‘Seksa 21 tahun derita ekzema’

‘Seksa 21 tahun derita ekzema’

August 19, 2018 5:51 pm Category: Nasional A+ / A-
‘Seksa 21 tahun derita ekzema’

Aizan Suhaira Sauffee Afandi

BAGAIKAN dicucuk-cucuk dengan jarum panas, lantas membuatkan pesakit ekzema, Aizan Suhaira Sauffee Afandi, 38, rasa begitu tertekan, murung dan kurang keyakinan diri.

Lebih teruk beliau tidur berlapikkan tilam yang berdarah dan dibasahi air bisa keluar dari kulit yang digaru.

Itu antara perkara dan pengalaman biasa dihadapi oleh bekas pegawai bank yang menderita ekzema sejak 21 tahun lalu.

“Ramai orang ingat ekzema setakat gatal-gatal saja. Apabila mereka melihat kita kerap menggaru. Pasti perbuatan itu ditegur supaya hentikan menggaru.

“Hanya yang merasai tahu perasaan ini. Sukar nak berhenti menggaru. “Malah, cabaran utama pesakit ekzema ialah mengadu sangat pedih apabila terkena air ketika mandi,” katanya pada majlis pelancaran produk penjagaan rawatan khusus kulit bermasalah, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Aizan Suhaira Sauffee Afandi

Aizan Suhaira Sauffee Afandi

17 tahun dapat ekzema

Selepas menggaru, beliau perlu berhadapan situasi kulit pedih keterlaluan dan rasa seperti terbakar.

“Apabila selalu menggaru kulit melepuh dan keluar air bisa. Saya sukar tidur malam kerana rasa sakit dan gatal.

“Memang perkara biasa saya bangun pagi melihat cadar dan baju penuh darah akibat menggaru secara tidak sedar,“ katanya.

Aizan Suhaira berkata, beliau menghidap ekzema sejak berusia 17 tahun dan dianggap jangka masa panjang.

Setiap bulan perbelanjaan banyak dihabiskan untuk rawatan dan memperuntukkan hampir RM1,000 sebulan untuk membeli produk makanan tambahan.

“Tetapi apabila sudah tahu jenis makanan tambahan yang serasi, kos rawatan semakin berkurangan,” katanya.

“Masa kecil saya menghidap asma. Tetapi apabila meningkat remaja, asma hilang, kemudian saya dapat ekzema pula. Orang kata asma dan ekzema ini umpama penyakit‚ ‘adik-beradik’,” katanya

Ambil makanan yang relevan Beliau berkata, alahan dialami biasanya disebabkan tekanan, pengambilan produk tenusu dan habuk.

Akibat tidak tahan dengan situasi itu, beliau sentiasa berusaha mencari jalan bagi menghilangkan masalah dialami itu.

“Saya selalu menyapu krim atau membalut kawasan bermasalah supaya tidak menggaru jika gatal.

Kalau tidak tahan sangat, biasanya saya akan menggaru atas balutan.

“Saya perlu menjaga makanan. Tak boleh ambil makanan ringan, makanan segera, bergula dan tenusu. Saya ambil makanan tambahan yang relevan dengan penyakit untuk meningkatkan sistem imunisasi,” katanya yang tidak pernah berputus asa mendapatkan rawatan.

Henti ambil steroid

Beliau kini menghentikan pengambilan steroid yang dimakan sejak bertahun-tahun selepas mendapati ia tidak berkesan menyembuhkan penyakitnya, sebaliknya beralih kepada produk semula jadi.

Penggunaan steroid untuk jangka masa panjang boleh memberi impak negatif.

“Selepas sapu krim steroid, ia terus hilang. Tetapi saya mula perasan semakin lama, saya perlu menyapu kuantiti steroid lebih banyak. Kulit pula semakin nipis dan senang terkena jangkitan.

“Bermula krim steroid, saya mengambil pula steroid jenis suntikan. Setiap bulan saya perlu mengambil suntikan ini sehingga sistem imunisasi semakin menurun.

“Saya mudah sakit. Jika ada orang berdekatan selesema, saya mudah berjangkit dan wajah jadi teruk,” katanya yang semakin pulih dari ekzema.

Oleh itu, beliau dan rakannya menubuhkan kumpulan sokongan ekzema di laman sosial untuk berkongsi maklumat mengenai penyakit itu.

“Pesakit ekzema perlu kawal emosi. Lazimnya cepat marah apabila berada dalam tekanan dan emosi rasa tidak stabil,” katanya yang pernah murung disebabkan masalah itu.

INFO

Ekzema terminologi untuk menggambarkan alahan pada bahagian tertentu kulit badan. Ia sering berlaku pada bayi dan kanak-kanak.

Seperti penyakit alahan lain seperti resdung dan asma, ekzema adalah manifestasi kulit akibat reaksi terhadap alahan tertentu.

Ekzema boleh terjadi akibat interaksi antara faktor genetik dan persekitaran.

Tabiat tertentu yang boleh membuatkan rasa gatal dan ruam menjadi lebih teruk.

Lazim dihidapi individu yang mengalami asma dan alergi hidung.
Penyakit keturunan.

Ekzema menyebabkan kulit menjadi merah, kering, bersisik dan sangat gatal.

Rawatan berbeza bagisetiap pesakit dan berubah mengikut usia dan keseriusan.

Ekzema tidak boleh sembuh dengan sekelip mata.

Boleh dikurangkan melalui rawatan dan pengurusan betul.

scroll to top