Friday , 21 June 2019

Home » Nasional » Selaraskan peranan kemas dengan keperluan masyarakat – Dr Mahathir

Selaraskan peranan kemas dengan keperluan masyarakat – Dr Mahathir

February 24, 2019 7:28 am Category: Nasional A+ / A-
Selaraskan peranan kemas dengan keperluan masyarakat – Dr Mahathir

SERDANG,. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu peranan dan fungsi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), yang ditubuhkan sejak 1961, diselaraskan dengan ekspektasi dan keperluan masyarakat serta kehendak kerajaan masa kini.

Beliau berkata setiap anggota Kemas perlu menghayati falsafah, dasar dan aspirasi kerajaan yang kemudiannya disampaikan kepada masyarakat luar bandar dengan harapan mereka turut merasai aspirasi itu.

Warga Kemas perlu melakukan perubahan, fleksibel dalam setiap tindakan serta memberi fokus sepenuhnya terhadap penyampaian perkhidmatan yang terbaik selaras dengan aspirasi jabatan sebagai penggerak kesejahteraan masyarakat luar bandar.

“Peranan warga Kemas bukan sahaja perlu aktif mendapatkan pelbagai isu masyarakat untuk dipanjangkan kepada pihak berwajib.

“Namun lebih daripada itu, anggota Kemas juga adalah orang yang tepat dalam menyebarluas maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan,” katanya dalam ucapan perasmian perhimpunan perdana sambutan Hari Kemas di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau pada majlis yang dihadiri lebih 4,000 warga Kemas itu dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Kemas memiliki tenaga kerja seramai 17,905 orang di mana 851 daripadanya adalah kakitangan tetap, 9,768 petugas kontrak dan selebihnya kakitangan berjawatan sementara kontrak tetap (JSKT).

Dr Mahathir juga mahu anggota Kemas meningkatkan wibawa jabatan itu sebagai sebuah organisasi pembangunan masyarakat luar bandar.

Sebagai agen pengembangan dan perubahan yang menjadi perantara antara rakyat dan kerajaan, beliau berkata anggota Kemas perlu melengkapkan diri dengan segala ilmu dan kemahiran terutama dalam bidang berkaitan dengan peranan dan tanggungjawab jabatan.

Beliau turut menyarankan Kemas memberi keutamaan kepada pembangunan masyarakat dan menjadi tulang belakang kerajaan dalam meneruskan usaha perancangan dan pembangunan negara agar berjalan dengan lebih teratur dan berkesan.

— BERNAMA

scroll to top