Sunday , 23 September 2018

Home » Nasional » Selebriti berkolaborasi jaya kempen antibuli siber

Selebriti berkolaborasi jaya kempen antibuli siber

April 17, 2018 5:01 pm Category: Nasional A+ / A-
Selebriti berkolaborasi jaya kempen antibuli siber

KUALA LUMPUR,.Selebriti terkenal tanah air tampil berkolaborasi bagi menjayakan kempen ‘Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu’ bagi menangani serta memerangi gejala buli siber dan penyebaran berita palsu di laman media sosial.

Bertemakan ‘Sebar Fakta Bukan Dusta’ dan ‘Aku Bersamamu’ kempen yang mendapat sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang hak-hak melindungi diri daripada buli siber dan penyebaran maklumat palsu.

Kempen yang dicetuskan oleh selebriti dan usahawan popular, Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali Neelofa dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

“Hari ini saya diberi penghormatan untuk melancarkan kempen melawan berita palsu yang terdiri daripada selebriti negara kita, saya mengucapkan terima kasih dengan kesungguhan mereka untuk membantu kami memerangi berita palsu ini.

“Tujuan kita memeranginya kerana berita palsu boleh melibatkan semua rakyat Malaysia. Tidak kira apa kedudukan dan pentingnya bagi kita untuk menentukan agar berita palsu bukan jadi budaya kita di Malaysia ini,” kata Salleh ketika ditemui pemberita selepas melancarkan kempen tersebut di sini, hari ini.

Bercakap dalam sidang media selepas pelancaran itu, Neelofa berkata idea untuk menjalankan kempen tersebut tercetus daripada perbualan bersama rakan-rakan selebriti lain mengenai sikap sesetengah masyarakat sekarang yang sangat lantang mengkritik dan memberikan sesuatu pendapat di platform media sosial.

Menurut beliau, kritikan yang dibuat kadangkala menggunakan bahasa kasar dan kesat, bersifat provokasi dan menyentuh sensitiviti orang lain, langsung tidak menggambarkan ciri-ciri budaya masyarakat Malaysia yang dibanggakan selama ini iaitu lemah lembut dan bersopan santun.

“Saya menjadi mangsa buli siber hampir setiap hari kerana ada sahaja komen-komen negatif di platform media sosial saya. Platform media sosial adalah tempat untuk menyuarakan pandangan mengenai pelbagai perkara namun ada pihak yang menggunakannya untuk mengkritik dan menjatuhkan orang lain,” katanya.

Seorang lagi selebriti yang turut bekerjasama menjayakan kempen tersebut, Datuk Hans Isaac pula berkata golongan selebriti merupakan antara yang sering menjadi mangsa buli siber, tetapi mereka jugalah antara golongan yang mempunyai pengaruh untuk membawa anjakan baharu tentang penggunaan media sosial.

“Dengan status selebriti yang dimiliki dan sokongan barisan personaliti lain dapat membantu kita dalam mempromosikan kempen ini secara lebih meluas,” kata Hans yang turut bertindak selaku pengarah kempen tersebut yang akan digerakkan menerusi platform media sosial dan televisyen.

Antara selebriti lain yang turut menyumbang usaha kepada kempen itu ialah Awal Ashaari, Scha Alyahya, Nora Danish, Maya Karin, Adibah Noor, Caprice, Joe Flizzoe, Ilaa Damia, Kavita Sidhu, Jane Teoh dan Shahrol Shiro.

— BERNAMA

scroll to top