Monday , 21 May 2018

Home » Bisnes » Semua kontrak akan diputuskan berdasarkan hasil kajian – PM

Semua kontrak akan diputuskan berdasarkan hasil kajian – PM

May 13, 2018 11:10 am Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
Semua kontrak akan diputuskan berdasarkan hasil kajian – PM

PETALING JAYA,. Kajian semula terhadap kontrak yang tidak memihak atau tidak memberi manfaat kepada Malaysia akan berdasarkan hasil kajian sebelum sebarang keputusan dibuat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata walaupun mengkaji semula kontrak tersebut, terutamanya melibatkan projek yang dibiayai China, terutamanya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Malaysia masih mengekalkan hubungan dengan negara-negara yang terlibat tanpa memberi keutamaan kepada mana-mana negara.

“Bagaimanapun, kami akan mengkaji semula kontrak tersebut untuk melihat bagaimana ia menguntungkan kami dan kami mahu membuat keputusan mengenai kontrak itu berdasarkan hasil kajian.

“Biasanya, kertas kerja disediakan oleh kementerian, tetapi sebelum kami mempunyai kementerian yang sesuai, kami perlu melakukan siasatan ke atas banyak perkara dan terdapat beberapa isu yang turut melibatkan kementerian dan kakitangannya.

“Oleh itu, kami memerlukan pihak yang tidak terlibat sama ada daripada kementerian atau pihak lain untuk mendapatkan pandangan,” katanya kepada pemberita selepas menamakan tiga menteri kanan dalam Kabinet beliau dan melantik ahli Majlis Penasihat Kerajaan, di sini hari ini.

Mengenai laporan 1MDB, Dr Mahathir berkata beliau telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia untuk mengklasifikasikan semula laporan tersebut di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan dikemukakan kepadanya untuk penelitian dan tindakan lanjut.

“Kami mahu melakukannya secepat mungkin. Dan ini adalah perkara yang rumit berikutan ia melibatkan banyak pihak dan keputusan yang akan dibuat kerana wang itu (sedang) disiasat di bawah pengubahan wang haram.

“Kami perlu menghubungi AS, Switzerland dan Singapura untuk mendapatkan semua data mengenai apa yang telah berlaku kepada wang tersebut dan ia akan memakan masa. Bagaimanapun, kami mahu bertindak secepat mungkin dengan maklumat yang sedikit yang membenarkan kami untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Mengenai jangkaan pasaran tidak menentu pada Isnin dengan perubahan kerajaan, Dr Mahathir berkata tindakan yang sesuai akan diambil, bergantung kepada pergerakan pasaran.

Majlis Penasihat itu akan diketuai oleh Tun Daim Zainuddin, yang telah berkhidmat sebanyak dua kali sebagai Menteri Kewangan di bawah pimpinan Dr Mahathir sebelum ini.

Ahli lain adalah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Merican, tokoh perniagaan Tan Sri Robert Kuok, Ahli Ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

— BERNAMA

scroll to top