Monday , 23 July 2018

Home » Nasional » Senarai Kabinet hanya spekulasi media

Senarai Kabinet hanya spekulasi media

June 13, 2018 2:35 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Senarai Kabinet hanya spekulasi media

KUALA LUMPUR,. Laporan senarai penuh jemaah menteri Tun Dr Mahathir Mohamad seperti yang tersebar di media sosial adalah berita yang belum disahkan dan hanya spekulasi media.

Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar, ketika dihubungi wartawan NSTP, berkata beliau tidak pernah diberitahu mengenai perkara itu dan enggan mengulas lanjut sehingga maklumat itu disahkan benar.

“Itu semua (berita) daripada sumber yang tidak dapat disahkan jadi saya tak boleh komen apa-apa. Ini semua media yang buat spekulasi,” katanya.

Beliau ditanya mengenai laporan beberapa portal yang mendakwa beliau turut dilantik sebagai Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli dalam senarai akhir 26 anggota Kabinet.

Sumber kerajaan itu menyebut, Teresa Kok yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP dan muka baharu, Yeo Bee Yin, adalah antara calon parti itu yang dijangka dilantik.

Teresa akan dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan manakala Yeo yang menang kerusi Parlimen Bakri dalam pilihan raya pertamanya, dijangka dinamakan sebagai Menteri Tenaga, Teknologi dan Alam Ssekitar.

Sementara itu, Teresa dalam catatan Facebook berkata, senarai Kabinet yang tersebar itu adalah palsu dan beliau tidak tahu menahu berhubung sebarang pelantikan.

“Saya berpendapat bahawa FT (Wilayah Persekutuan ) tidak harus diletakkan di bawah kementerian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) harus menguruskan bandar mengikut Rancangan Bandar KL,

“Semua Ahli Parlimen di Kuala Lumpur sepatutnya menjaga projek-projek di kawasan masing-masing. Datuk Bandar harus dipertanggungjawabkan ke arah dan operasi DBKL dan satu bandar tidak boleh mempunyai dua ketua,” katanya.

scroll to top