Tuesday , 20 November 2018

Home » Nasional » Seolah-olah ada tangan ghaib – Zuraida

Seolah-olah ada tangan ghaib – Zuraida

November 9, 2018 2:50 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Seolah-olah ada tangan ghaib – Zuraida

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin. Foto/SKSK Asianews

KUALA LUMPUR,. Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mendakwa seolah-olah wujud ‘sepasang tangan ghaib’ yang sedang cuba mengawal proses pemilihan parti, demi kepentingan peribadi pihak tertentu.

Zuraida yang juga calon Naib Presiden, berkata namun sebagai anggota PKR, semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab bagi memastikan pimpinan yang bakal menerajui parti adalah mereka yang boleh melaksanakan tanggungjawab secara tegas, beretika dan paling penting beramanah.

“Parti ini perlu diterajui oleh pimpinan yang efektif dalam melaksanakan tugas dan mempunyai rekod perkhidmatan yang terbukti cemerlang demi meneruskan perjuangan dan membangun negara.

“Kita sudah muak dengan drama politik yang tidak berkesudahan di dalam PKR, yang mana ada calon yang sering memprovokasi dan mengadu domba dalam usaha untuk meraih sokongan anggota parti.

“Kita juga tidak mahu kepemimpinan yang tidak boleh berdikari dan hanya mengharap sokongan dari pihak tertentu saja, bagi memastikan cita-cita peribadi mereka tercapai.

“Adalah penting untuk setiap anggota Keadilan memilih calon yang dapat ‘membingkai’ muafakat dalam usaha untuk memperkukuhkan parti dan melaksana reformasi dalam erti kata yang sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu meluahkan kebimbangannya mengenai kontroversi pemilihan parti yang memperlihatkan seolah-olah parti itu gagal menjulang agenda demokrasi diperjuangkan mereka.

Beliau percaya, ramai dalam kalangan anggota PKR yang sedar bahawa pemilihan kali ini adalah pemilihan paling mencabar dalam sejarah penubuhan parti itu.

Katanya, PKR kini dilanda pelbagai kontroversi yang memperlihatkan seolah-olah parti gagal menjulang agenda demokrasi, sekali gus tidak berupaya untuk mengekalkan momentum reformasi dalam meniti Malaysia baharu.

“Masalah seperti capaian internet, kehilangan undi, memanipulasi data, daftar pengundi yang meragukan dan pelbagai lagi isu yang berbangkit menyebabkan proses pemilihan parti dilihat lemah dan menggugat kredibiliti parti di mata umum.

“Isu yang berbangkit di Julau, dengan pendaftaran anggota yang meragukan, apabila nama anggota didaftarkan dengan maklumat peribadi yang tidak lengkap atau penggunaan satu alamat bagi ribuan anggota baharu.

“Persoalan juga timbul bagi proses pemilihan semula di Cabang Tawau, Pensiangan dan Keningau yang secara jelas berlangsung mengikut tatacara yang betul, namun diarahkan untuk diadakan pemilihan semula atas alasan yang tidak munasabah,” katanya.

Minggu lalu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengesahkan tidak berlaku sebarang perlanggaran keahlian di cabang paling kontroversi, Julau, yang terletak di tengah Sarawak.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 November lalu, melakukan penahanan ke atas seorang ketua bahagian yang tidak dinamakan membabitkan pertambahan ahli mendadak di cabang berkenaan susulan laporan dilakukan PKR Sarawak pada 25 Oktober lalu.

Cabang Julau mencetuskan kontroversi hangat pada pemilihan PKR tahun ini selepas merekodkan pertambahan mendadak anggota baharu sebanyak 13,000 ahli sebelum tarikh akhir penerimaan anggota baharu untuk disahkan.

Cabang Julau sebelum itu hanya mencatatkan jumlah kira-kira 600 ahli.

Sehubungan itu, Zuraida meminta anggota PKR di Jelebu (Negeri Sembilan), Kuala Selangor (Selangor); Keningau, Tawau dan Pensiangan (Sabah); Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Kota Melaka dan Jasin di Melaka serta Sarawak yang bakal diadakan pemilihan pada hujung minggu ini untuk turun mengundi.

“Insya-Allah, dengan iltizam dan kebersatuan yang dizahirkan, kita akan dapat menegakkan kebenaran, sekali gus menamatkan usaha dangkal golongan yang terlalu inginkan kuasa, sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja, termasuk cara kotor, semata-mata untuk memastikan cita-cita mempunyai jawatan dalam parti tercapai. Ayuh Keadilan Bangkit! Reformasi! Membingkai Muafakat, Melaksana Reformasi,” katanya.

scroll to top