Wednesday , 23 May 2018

Home » Bisnes » SERC unjur ekonomi berkembang 5.1 peratus

SERC unjur ekonomi berkembang 5.1 peratus

January 17, 2018 2:02 pm Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
SERC unjur ekonomi berkembang 5.1 peratus

KUALA LUMPUR,. Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC) mengekalkan unjuran optimis terhadap ekonomi Malaysia bagi 2018, dengan pertumbuhan ekonomi dijangka berkembang pada kadar 5.1 peratus.

Pengarah Eksekutifnya, Lee Heng Guie, berkata pertumbuhan ekonomi negara kekal diterajui permintaan domestik, sungguhpun pada kadar yang lebih perlahan.

Katanya, pertumbuhan ekonomi berterusan itu akan disokong permintaan domestik, disebabkan beberapa faktor seperti syarat pembiayaan yang masih mudah dan bajet pengembangan negara.

“Sungguhpun berhadapan kos sara hidup tinggi, peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, dan hutang pengguna tinggi (84.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada akhir September 2017), perbelanjaan pengguna sebaliknya menyongsang graviti berikutan ia berkembang sekitar 7.0 peratus pada 2017.

“Ia berkemungkinan meningkat sebanyak 6.5 peratus pada 2018,” katanya pada taklimat media berhubung penjejakan prestasi sukuan ekonomi dan tinjauan ekonomi negara 2018 di sini hari ini.

Heng Guie berkata, peruntukan yang dibentangkan dalam Bajet 2018 seperti pemberian tunai RM6.8 bilion kepada golongan tertentu, RM3 bilion pembayaran khas kepada 2.3 juta kakitangan awam dan pesara, dan RM1.5 bilion penjimatan cukai daripada pemotongan dua peratus dalam kadar cukai pendapatan individu, dijangka membantu meningkatkan kuasa rakyat kebanyakan berbelanja.

Sebagai perbandingan, isi rumah bagi kedua-dua kategori rakyat M40 dan T20 mewakili 75 peratus jumlah perbelanjaan swasta.

Heng Guie berkata, dengan pengukuhan pertumbuhan global dan petunjuk positif dalam industri semikonduktor, eksport negara diunjurkan berkembang 7.5 peratus pada 2018.

Katanya, pada kadar itu ia masih baik meraih kesinambungan kepada asas tinggi eksport yang dicatat pada 2017.

Dengan pertumbuhan dua angka iaitu 20.4 peratus sehingga November 2017, eksport negara dijangka berkembang pada kadar 19.8 peratus bagi keseluruhan 2017, kadar terpantas dalam lebih dua dekad sejak 1998.

Eksport yang kukuh itu disumbang permintaan lebih tinggi bagi rangkaian produk meluas, pengukuhan harga komoditi dan kesan tukaran wang asing yang memihak kepada negara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah monetari wajar menyaksikan ringgit yang lebih stabil.

Ia termasuk langkah penstabilan ringgit di darat (onshore), seperti mengawal dagangan ringgit di luar pesisir.

Beliau berkata, ringgit yang mengukuh 10.8 peratus buat pertama kali pada 2017, dijangka akan terus kukuh dengan jangkaan ia didagangkan dalam jajaran antara RM3.80 dan RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun ini.

scroll to top