Friday , 16 November 2018

Home » Sukan » Serena kembali penuh bersemangat

Serena kembali penuh bersemangat

July 13, 2018 7:12 am Category: Sukan A+ / A-
Serena kembali penuh bersemangat

Serena Williams

LONDON,. Serena Williams kembali penuh bersemangat selepas menang di separuh akhir dan melangkah ke final Wimbledon buat kali ke-10 iaitu 10 bulan selepas dia selamat menjalani pembedahan berikutan komplikasi ketika melahirkan anak.

Bintang Amerika Syarikat berusia 36 tahun itu mengatasi pemain Jerman, Julia Goerges 6-2, 6-4 dan bakal bertemu seorang lagi wakil dari Jerman, Angelique Kerber pada aksi final esok, iaitu perlawanan akhir Grand Slam ke-30 dalam kariernya.

“Ia memang gila. Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan kerana saya tidak terfikir boleh melakukan prestasi sebaik ini dalam kejohanan keempat selepas kembali ke gelanggang,” kata Serena.

Andai berjaya menjulang kejuaraan esok, ia akan menjadi koleksi Wimbledon kelapan dan mahkota Grand Slam ke-24 sekali gus menyamai pencapaian terbaik sepanjang zaman Margaret Court.

Ia pencapaian yang membanggakan buat Serena yang mengalahkan Kerber pada final 2016, sebelum meninggalkan gelanggang pada 2017 kerana mahu memberi perhatian kepada kandungannya.

Anak perempuannya, Olympia dilahirkan pada September, namun Serena terpaksa menjalani pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya daripada masalah darah beku.

Dia terpaksa berehat selama enam minggu dan hanya kembali menyertai jelajah pada Mac lalu.

“Ini perkara yang saya tidak boleh elakkan, saya mengalami detik sukar dengan beberapa pembedahan dan secara jujurnya saya hampir kehilangan nyawa,” kata Serena selepas kejayaan pada separuh akhir.

“Saya langsung tidak boleh berjalan ke peti surat, jadi ia memang bukan normal untuk saya berada di pentas final Wimbledon. Saya hanya mahu menikmati setiap detik ini.”

Dengan diletakkan sebagai pemain pilihan ke-25 tahun ini dan menduduki ranking dunia ke-181, Serena menegaskan dia lebih gemar dilabel sebagai bukan pilihan menentang Kerber meskipun memiliki kelebihan rekod pertemuan 6-2 ke atas pemain lawannya itu.

-AFP

scroll to top