Monday , 24 September 2018

Home » Nasional » Shahrir Samad letak jawatan Pengerusi Felda

Shahrir Samad letak jawatan Pengerusi Felda

May 14, 2018 10:27 pm Category: Nasional A+ / A-
Shahrir Samad letak jawatan Pengerusi Felda

“ANAK semilang di tapak tangan,
“Tertusuk duri bisanya terasa,
“Jika kejayaan menjadi harapan,
“Teruskan khidmat buatlah jasa.”

Rangkap pantun itu menutup ucapan peletakan jawatan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Katanya, surat peletakan jawatan juga telah dihantar kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Memandangkan saya dilantik sebagai Pengerusi FELDA oleh kerajaan sebelum ini, adalah wajar untuk saya melepaskan jawatan di dalam institusi yang diterajui oleh kerajaan baharu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, Shahrir juga memaklumkan lapan penambahbaikan yang telah dilaksanakan beliau sejak dilantik pada 6 Jan 2017.

Antaranya, meningkatkan tadbir urus FELDA dengan melantik Pengerusi yang berbeza untuk anak syarikat kumpulan FELDA, selain tidak melantik ahli politik sebagai Ahli Lembaga Pengarah di dalam anak-anak syarikat FELDA, contohnya seperti di Felda Investment Corporation (FIC).

Beliau juga memaklumkan berjaya mendapatkan semula keyakinan peneroka untuk kembali kepada sistem pengurusan FELDA supaya pengurusan kebun dan komuniti dapat dilaksanakan dengan lebih kemas dan efektif.

“Melalui inisiatif Muafakat FELDA yang diperkenalkan pada bulan Ogos 2017, seramai 105,294 orang peneroka telah kembali bermuafakat bersama FELDA sehingga Mei 2018,” katanya.

Pada masa sama, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh warga FELDA atas sokongan dan kerjasama baik sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi FELDA dalam usaha membawa FELDA ‘balik ke asal’.

 

Awani

 

scroll to top