Thursday , 15 November 2018

Home » Ekonomi » Sidang kemuncak fintech Islam dijadual 18-19 September

Sidang kemuncak fintech Islam dijadual 18-19 September

September 13, 2018 2:26 pm Category: Ekonomi, Nasional A+ / A-
Sidang kemuncak fintech Islam dijadual 18-19 September

KUALA LUMPUR,. Sidang Kemuncak Teknologi Kewangan Islam Global (GIFS) yang bakal diadakan pada 18 hingga 19 September di sini, dijangka membawa bersama pihak berkepentingan utama dari beberapa pusat kewangan Islam untuk turut sama memajukan industri itu.

Sidang kemuncak berkaitan sistem teknologi kewangan atau ‘fintech’ itu dianjurkan Elmangos, syarikat berpangkalan di Dubai yang berpengalaman menganjur Konvensyen Keusahawanan Ekonomi Islam Global (GIEEC).

Elmangos akan bekerjasama dengan Albaraka Turk Participation Bank, satu daripada pendukung utama ekosistem keusahawanan di Turki.

Dalam satu kenyataan, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Elmangos, Abd Elmohaimen Mansi, berkata potensi teknologi kewangan Islam mula disedari pada program GIEEC tahun lalu.

“Semasa perbincangan panel GIEEC berkenaan teknologi kewangan Islam tahun lalu, fintech Islam disedari mempunyai permintaan awam dan berpotensi besar dalam menyumbang kepada ekonomi digital Islam.

“Walau bagaimanapun, tidak ada platform berdedikasi untuk penerokaan dan pembangunan selanjutnya. GIFS 2018 akan menjadi platform untuk membabitkan ekonomi Islam dengan fintech,” katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan ucapan pembukaan pada sidang kemuncak yang dihoskan di Kuala Lumpur itu.

GIFS 2018 dijangka bakal menyerlahkan potensi besar fintech Islam ke arah pemangkin inovasi dalam industri kewangan Islam dengan kehadiran lebih 400 perwakilan.

Ia bakal membabitkan 15 saluran media antarabangsa dan tempatan serta disokong institusi dan organisasi kewangan Islam terkemuka.

Antara penaja utama termasuk Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC), MBSB Bank (Malaysia) dan Finterra.

GIFS 2018 akan menampilkan sesi utama yang memaparkan platform fintech baharu dan ahli panel kalangan pengawal selia, institusi kewangan dan syarikat pemula, meliputi topik seperti gambaran keseluruhan Fintech Islam terkini, rangka kerja pengawalseliaan, rantaian blok untuk perbankan Islam dan penubuhan pusat kewangan Islam utama.

scroll to top