Saturday , 15 December 2018

Home » Ekonomi » Sijil Rumahku jadi rujukan BNM untuk pembeli rumah pertama – AKPK

Sijil Rumahku jadi rujukan BNM untuk pembeli rumah pertama – AKPK

November 8, 2018 10:03 am Category: Ekonomi, Nasional A+ / A-
Sijil Rumahku jadi rujukan BNM untuk pembeli rumah pertama – AKPK

Nor Fazleen Selesai di portal bukan bermakna dia layak untuk membuat pinjaman berkenaan kerana bank akan membuat penilaian kredit seseorang pemohon. - Gambar www.akpk.org.my

KUALA LUMPUR,. Pembeli rumah pertama perlu mempunyai sijil atas talian daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebelum membuat pinjaman Dana Rumah Mampu Milik (Dana) yang diumum Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, Pengurus Besar Operasi AKPK, Nor Fazleen Zakaria berkata, sijil pembelajaran atas talian itu bukan jaminan untuk mendapatkan pinjaman berkenaan.

“Selesai di portal bukan bermakna dia layak untuk membuat pinjaman berkenaan kerana bank akan membuat penilaian kredit seseorang pemohon.

“Bank ada cara mereka tersendiri tetapi bagi BNM, sijil rumahku itu perlu disertakan bersama apabila membuat pinjaman perumahan,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat AKPK di sini, hari ini.

Nor Fazleen mengulas pengumuman BNM terhadap penubuhan Dana berjumlah RM1 bilion untuk membantu pembeli rumah daripada kumpulan berpendapatan rendah di seluruh negara bagi membiayai pembelian rumah pertama mereka.

Dana ini akan tersedia selama dua tahun mulai 2 Januari 2019 atau sehingga dana RM1 bilion itu habis digunakan.

Bagi membantu pembeli rumah pertama kali ini, modul pendidikan kewangan dalam talian yang ringkas dan mudah akan disediakan oleh AKPK untuk pembeli rumah yang memohon pembiayaan di bawah Dana ini.

Sementara Portal Rumahku membantu bakal peminjam untuk memahami dan mengurus kewangan mereka dengan berkesan menerusi penilaian kendiri yang mudah dan ringkas.

Rumahku memberi gambaran terhadap komitmen kewangan yang bakal mereka ambil sesudah pembelian dan pengambilan pinjaman atau pembiayaan.

Bakal peminjam boleh mengakses portal Rumahku AKPK di learn.akpk.org.my yang sudah tersedia sejak 3 November lepas.

Menurut BNM, pelancaran Dana akan dilengkapi dengan pelbagai langkah untuk membantu pembeli rumah yang pendapatan bulanan RM5,000 dan ke bawah membeli rumah pertama mereka yang berharga sehingga RM300,000.

scroll to top