Tuesday , 23 July 2019

Home » Dunia » Singapura tahan warga Myanmar kumpul dana pemberontak

Singapura tahan warga Myanmar kumpul dana pemberontak

July 11, 2019 10:14 am Category: Dunia A+ / A-
Singapura tahan warga Myanmar kumpul dana pemberontak

Kementerian Dalam Negeri Singapura berkata, kumpulan itu ‘menganjur dan menggerakkan’ beberapa anggota komuniti Myanmar di republik itu bagi menyokong Tentera Arakan (AA), kumpulan pemberontak yang berjuang mendapatkan autonomi lebih besar di Rakhine dan Chin serta sayap politiknya, Liga Bersatu Arakan. -Foto Agensi

SINGAPURA,. Pihak berkuasa di republik ini semalam berkata, mereka menahan sekumpulan warga Myanmar yang dituduh meraih sokongan untuk keganasan bersenjata menentang kerajaan negara terbabit.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan berkata, kumpulan itu ‘menganjur dan menggerakkan’ beberapa anggota komuniti Myanmar di republik itu bagi menyokong Tentera Arakan (AA), kumpulan pemberontak yang berjuang mendapatkan autonomi lebih besar di Rakhine dan Chin serta sayap politiknya, Liga Bersatu Arakan.

Tambahnya, mereka yang didapati terbabit dalam ‘aktiviti menimbulkan kebimbangan keselamatan’ akan diusir.

Rakhine, juga dikenali sebagai Arakan, mendapat perhatian global selepas lebih 730,000 Muslim Rohingya menyeberang ke dalam Bangladesh akibat tindakan keras tentera Myanmar susulan serangan pemberontak pada 2017.

Terbaharu, orang awam terperangkap dalam pertembungan antara tentera dan AA, yang merekrut majoriti etnik Buddha Rakhine, menyebabkan lebih 35,000 penduduk hilang tempat tinggal tahun ini, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Myanmar menganggap AA sebagai organisasi pengganas.

Kementerian Dalam Negeri Singapura berkata, warga Myanmar yang ditahan memberi sokongan kewangan kepada pemberontak, dengan seorang daripadanya menyelaras usaha mengumpul dana di kalangan diaspora itu di republik ini.

“Mereka tidak seharusnya mengimport isu politik domestik dari negara mereka ke dalam Singapura,” kata kenyataan.

Seorang jurucakap AA, Khine Thu Kha, menafikan tahanan milik kumpulan bersenjata sebaliknya mendakwa mereka adalah organisasi komuniti. -Reuters

scroll to top