Sunday , 16 December 2018

Home » Sukan » Soon Kit antara yang digugurkan BAM

Soon Kit antara yang digugurkan BAM

December 6, 2018 2:06 pm Category: Sukan A+ / A-
Soon Kit antara yang digugurkan BAM

Cheah Soon Kit.

KUALA LUMPUR,. Jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit difahamkan antara lima jurulatih yang berada dalam senarai tidak disambung kontrak dan digugurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Soon Kit ditawarkan tempat sebagai jurulatih beregu lelaki oleh BAM pada November 2015 dan memulakan tugasnya secara rasmi pada Januari 2016 – dia kembali selepas meninggalkan badan induk itu pada Disember 2007 sebagai jurulatih beregu wanita.

Pada Jun 2017, dia dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih beregu lelaki bagi menggantikan Jeremy Gan susulan perubahan struktur kejurulatihan BAM.

Namun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila jawatannya itu ‘dirampas’ jurulatih dari Indonesia, Paulus Firman yang dinaikkan pangkat pada Julai lalu selepas tiada peningkatan ditunjukkan barisan pemain beregu lelaki negara.

Antara faktor lain yang turut menjadi peyumbang kepada keputusan berkenaan adalah disebabkan pemain beregu lelaki negara hilang kepercayaan ke atas pemenang pingat perak Olimpik Atlanta 1996 itu apabila menyuarakan rasa kurang senang terhadap cara Soon Kit mengendalikan latihan.

Empat lagi jurulatih yang dilaporkan mengalami nasib sama ialah jurulatih perseorangan lelaki, Sairul Amar Ayob; jurulatih perseorangan wanita, Rony Agustinus; jurulatih beregu wanita, Lim Pek Siah dan jurulatih beregu campuran, Teo Kok Siang.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai, berkata badan induk itu akan mengecilkan bilangan skuad negara pada tahun depan dengan menggugurkan lima jurulatih serta 12 pemain kebangsaan.

Katanya, selepas penilaian dalam mesyuarat C&T, BAM memutuskan untuk mengecilkan skuad sedia ada daripada 60 kepada 48 pemain manakala jurulatih kebangsaan ketika ini seramai 17 akan dikurangkan kepada 12.

Chin Chai bagaimanapun enggan mendedahkan senarai nama jurulatih dan pemain terbabit, namun memberitahu mereka sudah diberitahu terlebih dahulu sebelum perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat semalam.

scroll to top