Friday , 17 August 2018

Home » Nasional » SOP Haji TH sediakan petugas berdepan insiden tidak diingini

SOP Haji TH sediakan petugas berdepan insiden tidak diingini

August 10, 2018 10:26 am Category: Nasional A+ / A-
SOP Haji TH sediakan petugas berdepan insiden tidak diingini

MAKKAH,. Prosedur operasi standard (SOP) pengurusan Tabung Haji (TH) berkenaan keselamatan semasa di tanah suci sudah mencukupi bagi petugas untuk berdepan insiden kecemasan sekiranya musibah seperti kejadian kren tumbang berulang.

Pengurus Maktab 87 TH bagi musim haji 1439H Khairoddin Ahmad berkata kejadian menggemparkan itu memberi banyak pengalaman kepadanya dalam aspek mengendalikan kebajikan jemaah haji.

“Ketika latihan pengukuhan di tanah air lagi kami sudah diberikan pendedahan berkaitan risiko dan apa yang perlu dilakukan ketika berdepan kecemasan. Ia panduan yang banyak manfaatnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bagi musim haji kali ini, beliau berkata pasukan pengurusan Maktab 87 dianggotai 11 petugas termasuk dua penolong pengurus, empat petugas haji, dua penasihat ibadat tanah suci (PIHTAS) dan dua pembantu petugas haji.

“Semua Pengurus Maktab juga sudah disediakan SOP untuk perkara penting dalam ibadat haji iaitu pergerakan ketika operasi Masyair iaitu hari wukuf di Arafah dan seterusnya ke Muzdalifah dan Mina.

“Kita perlukan perancangan yang seragam dan tersusun. Untuk operasi Masyair, kami 11 petugas akan turut dibantu petugas daripada bahagian kebajikan,” katanya.

Tragedi kren untuk kerja perluasan Masjidil Haram tumbang pada 11 Sept 2015 itu menyaksikan seramai 180 jemaah haji maut dan 238 cedera, daripada jumlah itu, tujuh yang maut dan 11 cedera adalah jemaah Malaysia.

Khairoddin berkata iktibar dan pengajaran yang diperolehnya daripada peristiwa itu sering dikongsi bersama jemaah supaya mereka menjalin hubungan yang erat dengan rakan sebilik.

Katanya lagi pengajaran paling penting daripada tragedi itu ialah peranan rakan sebilik dalam membantu jemaah lain apabila berdepan musibah.

“Setiap jemaah perlu sedar, rakan sebilik adalah orang paling rapat dengan mereka dan yang akan membantu apabila kesusahan. Jadi, kena saling kerjasama dan bertolak ansur,” katanya.

Berkongsi pengalaman tragedi kren tumbang itu, Khairoddin berkata dua daripada jemaah yang maut adalah penghuni maktab yang diuruskan beliau dan jenazah seorang daripada jemaah hanya ditemukan tiga hari sebelum hari wukuf.

“Apa yang saya nak kongsikan ialah peranan teman sebilik isteri mangsa yang banyak membantu menenangkan dan memberi motivasi.

“Apabila jenazah ditemukan, isteri mangsa sudah reda dan dapat menerima kejadian menimpa suaminya dengan tabah,” katanya.

Setakat ini, beliau berkata seramai 1,900 jemaah penghuni Maktab 87 sudah tiba di Makkah daripada jumlah keseluruhan 2,932 penghuni di maktab itu dan bakinya dijadualkan tiba menerusi dua penerbangan dalam masa terdekat.

— BERNAMA

scroll to top