Sunday , 22 October 2017

Home » Bisnes » SP Setia lancar projek ikonik di Melbourne

SP Setia lancar projek ikonik di Melbourne

June 19, 2017 2:07 pm Category: Bisnes A+ / A-
SP Setia lancar projek ikonik di Melbourne

KUALA LUMPUR: SP Setia Bhd akan memulakan kerja pembinaan projek terbaharunya yang menjadi antara mercu tanda ikonik di Melbourne, Sapphire By The Gardens, menjelang akhir tahun ini.

Sapphire By The Gardens adalah projek menara berkembar kediaman dan penthouse mewah setinggi 64 tingkat bersama hotel lima bintang Shangri-La, dilengkapi sebuah jambatan ikonik yang menghubungkan kedua-dua menara berkenaan.

Apabila disiapkan kelak, projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) AUD475 juta (RM1.54 bilion) itu bukan hanya menjadi antara bangunan tertinggi di Melbourne, malah menempatkan salah satu ballroom terbesar yang terdapat di bandar raya Australia berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Australia, Choong Kai Wai, berkata saiz unit yang ditawarkan projek Sapphire By The Gardens secara umumnya adalah 15 hingga 20 peratus lebih besar berbanding purata unit pangsapuri yang terdapat di Melbourne.

Katanya, majoriti unit yang ditawarkan adalah dua dan tiga bilik tidur, manakala 10 hingga 15 peratus lagi adalah unit mengandungi satu bilik tidur.

“Projek ini adalah plot tanah terakhir berhadapan Tapak Warisan Dunia UNESCO, Carlton Gardens dan juga Royal Exhibition Building.

“Salah satu sebab Shangri-La turut berminat membuka hotel di sini adalah kerja projek menawarkan konsep kehidupan di bandar dan taman,” katanya kepada media dari Malaysia yang mengunjungi tapak projek berkenaan di Melbourne, baru-baru ini.

SP Setia melancarkan komponen kediaman projek kelimanya di Australia itu di Pusat Antarabangsa Setia, Kuala Lumpur, kelmarin.

Kai Wai berkata, pembeli sasaran bagi projek Sapphire By The Gardens termasuk penduduk tempatan Melbourne berusia antara 30 hingga 50 tahun, pesara, penduduk luar yang kerap mengunjungi Melbourne, profesional muda selain pembeli kali pertama.

Katanya, projek berkenaan juga mendapat sentuhan firma seni bina terkemuka iaitu Fender Katsalidis Architects (FKA) dan Cox Architects.

“Kami menganjurkan pertandingan reka bentuk untuk memilih arkitek bagi projek ini. Bagi reka bentuk jambatan, seramai 46 arkitek muda dari FKA dan Cox mengemukakan pilihan kepada kami,” katanya.

Beliau menambah, SP Setia akan mengekalkan komponen pejabat dan runcit bagi projek berkenaan, bagi menjana pendapatan berulang kepada syarikat.

“Kami berminat menyediakan perkhidmatan seperti penjagaan kanak-kanak dan kesihatan. Industri penjagaan kanak-kanak antaranya adalah amat besar di sini dan kami akan mendapatkan pengendali yang sesuai,” katanya.

Selain Carlton Gardens, projek Sapphire By The Gardens terletak berhampiran beberapa kemudahan utama di Melbourne termasuk Melbourne University, RMIT University, Royal Melbourne Hospital, Royal Victorian Eye and Ear Hospital, Fitzroy Gardens.

Ia juga berhampiran lokasi komuniti antarabangsa terkenal di Melbourne seperti Chinatown, Greek Precinct serta komuniti Vietnam. Projek berkenaan dijangka siap akhir 2021.

Projek lain SP Setia di Melbourne termasuk pangsapuri The Fulton Lane dan Parque Melbourne yang sudah pun disiapkan, manakala projek pangsapuri Maison Carnegie dan pembangunan bercampur High Street Prahran masing-masing dijangka siap pada 2018 dan 2019.

INFO

Harga unit kediaman Sapphire By The Gardens:

AUD550,000 (pangsapuri) hingga AUD29 juta (penthouse)

scroll to top