Thursday , 29 June 2017

Home » Sukan » Srikanth juara badminton Terbuka Indonesia

Srikanth juara badminton Terbuka Indonesia

June 19, 2017 5:05 pm Category: Sukan A+ / A-
Srikanth juara badminton Terbuka Indonesia

KIDAMBI Srikanth merangkul gelaran pertama Siri Super Terbuka Indonesia. - Foto EPA

JAKARTA: Pemain badminton India, Kidambi Srikanth merangkul gelaran pertama Siri Super Terbuka Indonesia selepas mengalahkan wakil Jepun, Kazumasa Sakai menerusi kemenangan bergaya, di sini, malam tadi.

Srikanth yang berada di ranking ke-22 dunia, mara ke final selepas menewaskan pemain nombor satu dunia dari Korea Selatan, Son Wan Ho, kelmarin, hanya memerlukan 37 minit untuk mengatasi Sakai dalam dua set dengan 21-11, 21-19.

“Ia adalah satu tempoh yang lama sejak saya memenangi Siri Super berikutan saya sebenarnya cedera selepas Sukan Olimpik,” kata Srikanth kepada wartawan selepas perlawanan.

Sakai yang menduduki tempat ke-47 dunia berjaya mengawal kembali permainan pada awal set kedua dan mendahului dengan 11-6, namun Srikanth pantas bangkit dan menamatkan kejohanan dengan kemenangan.

“Ia (kejuaraan) pasti amat diperlukan bagi saya selepas tewas perlawanan akhir di Terbuka Singapura,” kata Srikanth. Pemain berusia 24 tahun itu berjaya melangkah ke final di Terbuka Singapura pada April lalu tetapi terpaksa akur di tangan rakan senegara, Sai Praneeth.

Dalam pada itu, rakan senegara Sakai, Sayaka Sato memenangi gelaran perseorangan wanita pertamanya dalam acara Siri Super Persekutuan Badminton Dunia selepas menewaskan pemain nombor lima dunia, Sung Ji-Hyun dari Korea Selatan dengan 21-13, 17-21, 21-19.

Acara beregu campuran pula dimenangi wakil Indonesia yang juga juara Olimpik, Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir selepas mengatasi gandingan China, Zheng Siwei dan Chen Qingchen dengan 22-20, 21-15. Bagi acara beregu wanita pula, Chen Qingchen dan Jia Yifan dari China mengalahkan wakil Korea Selatan, Chang Ye Na dan Lee So Hee, 21-19, 15-21, 21-10 manakala gandingan lelaki China, Li Junhui dan Liu Yuche turut memenangi perlawanan akhir menentang Mathias Boe dan Carsten Morgensen dengan 21-13, 17-21, 21-14.

– AFP

scroll to top