Saturday , 25 May 2019

Home » Nasional » ‘Stadium Wembley’ di Bukit Jalil

‘Stadium Wembley’ di Bukit Jalil

April 24, 2019 7:52 am Category: Nasional, Sukan A+ / A-
‘Stadium Wembley’ di Bukit Jalil

Tony Fernandes bersama Ketua Pegawai Eksekutif PSM Nik Razeen Daud (tengah) dan Radzi (kanan) bergambar selepas mengadakan sidang media berkaitan Bandar Sukan Kuala Lumpur di Stadium Nasional Bukit Jalil, 23 April, 2019. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,. Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan mengumumkan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mewujudkan suasana baharu kepada orang ramai sama seperti berada di Stadium Wembley di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC), Bukit Jalil, tidak lama lagi.

Anggota Lembaga Pengarah PSM Radzi Tajuddin berkata PSM dan FAM akan membuat pengumuman rasmi berhubung kerjasama tersebut selewat-lewatnya sebulan daripada sekarang, pada Mei ini.

“Kembali kepada idea menjadikan tempat itu sebagai “Wembley Malaysia”, kita sebenarnya sudah berbincang dengan FAM, dan kita akan umumkan mengenai kerjasama itu secepat mungkin. Idea itu sudah ada tetapi pada masa ini saya tidak boleh dedahkannya.

“Tetapi sesuatu yang besar akan diumumkan, mungkin dalam masa sebulan. Kita sedang memuktamadkan beberapa butiran dalam usaha menjadikan tempat tersebut Wembley Malaysia,” katanya pada sidang media khas mengenai hala tuju PSM, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Pengerusi PSM Tan Sri Tony Fernandes sangat optimis bagi menjadikan KLSC sebagai “Wembley Malaysia” yang dapat menjana pendapatan kepada negara.

Beliau berkata PSM berhasrat mewujudkan suasana baharu sama seperti berada di Stadium Wembley, London, yang menempatkan restoran hebat, kedai cenderamata dan diadakan hiburan dalam kawasan stadium.

“Di Stadium Wembley disediakan makanan yang sedap, kedai cenderamata dan diadakan aktiviti hiburan pada hari tiada perlawanan. Orang ramai masih boleh datang ke stadium walaupun tiada perlawanan pada hari berkenaan.

“Jika anda pergi ke Old Trafford atau Wembley terdapat muzium, kedai menjual barangan dan restoran. Berbeza dengan KLSC pada masa ini, bila anda datang, tiada apa-apa.

“Di KLSC kebanyakan aktiviti di luar, tiada yang diadakan dalam kawasan stadium,” katanya bahawa PSM akan turut bekerjasama rapat dengan persatuan sukan kebangsaan bagi memastikan matlamat itu menjadi kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai hala tuju PSM, Tony berkata beliau mahu menjadikan stadium berkenaan bukan sahaja tempat untuk penganjuran acara sukan, sebaliknya boleh diadakan konsert, persidangan atau sebagainya yang boleh menjana pendapatan kepada negara.

— BERNAMA

scroll to top