Thursday , 18 January 2018

Home » Artikel Pilihan » ‘Strategi langkah ke belakang’

‘Strategi langkah ke belakang’

January 8, 2018 9:38 am Category: Artikel Pilihan, Nasional, Politik A+ / A-
‘Strategi langkah ke belakang’

GAMBAR fail, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad, bergambar bersama Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri) Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tiga dari kanan) dan Majlis Tertinggi PPBM ketika Perhimpunan Agung Tahunan Pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia di IDCC, Shah Alam pada 30 Disember lalu. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Semalam, pakatan DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) mengumumkan calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mereka andai cita-cita menawan Putrajaya menjadi nyata pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Bukan mengejutkan apabila Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai calon untuk mengisi kerusi Perdana Menteri, memungkinkan Malaysia ditadbir oleh Perdana Menteri kitar semula andai mereka berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Bagi saya, strategi pakatan empat parti itu adalah satu langkah ke belakang kerana sanggup ‘menjulang’ semula musuh nombor satu pembangkang sepanjang 22 tahun Dr Mahathir menjadi ketua kerajaan.

Pada usia 93 tahun kini, Dr Mahathir boleh dianggap sebagai pemimpin kitar semula, seolah-olah pakatan empat parti berkenaan tiada lagi pemimpin muda, baharu, segar dan kuat yang boleh diketengahkan sebagai calon untuk memimpin negara.

Strategi kitar semula oleh pembangkang juga boleh dilihat sebagai terdesak, hanya menggunakan alasan Dr Mahathir individu berpengalaman luas memimpin kerajaan untuk menarik undi rakyat.

Pada hakikatnya, pakatan itu tidak ‘kering’ dengan muka baharu yang boleh diketengahkan seperti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, namun mengapa bukan namanya yang diangkat?

Tak percaya bakat muda

Pakatan empat parti itu bukannya ‘lokek’ pemimpin muda berkaliber, tetapi tidak berani dan percaya dengan kebolehan serta keupayaan bakat muda sehingga terdesak menjulang Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri kitar semula.

Apa pula akan jadi dengan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kenapa beliau tidak dinamakan sebagai calon atas pengalamannya sebelum ini sebagai Timbalan Perdana Menteri? Adakah pakatan bimbang ia boleh mencetuskan konfrontasi dalam persekutuan mereka?

Menamakan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri juga melanggar amanat dari penjara yang ditulis Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini. Beliau mahukan calon Perdana Menteri daripada pakatan, mestilah selain Pengerusi PPBM itu.

Mungkin DAP, PKR dan PAN sedar tarikan mereka tidak kuat untuk meraih undi rakyat, lantas mempertaruhkan Dr Mahathir sehingga sanggup mengabaikan amanat Anwar yang suatu ketika dahulu seteru ketat dan musuh kuat bekas Perdana Menteri itu.

Apa menyebabkan tiga parti itu berubah hati, sedangkan lebih awal sebelum konvensyen semalam berlangsung, ramai pemimpin terutama daripada PKR tidak bersetuju meletakkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri untuk mendepani PRU-14.

Apakah Dr Mahathir bersedia melepaskan jawatan jika Anwar yang juga ketua umum pakatan itu diangkat sebagai Perdana Menteri melalui apa juga cara yang dirancang nanti kerana semua tahu tarikan magnet kuasa begitu sukar dilepaskan.

Apa pula akan jadi kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang semalam dinamakan calon Timbalan Perdana Menteri. Mungkin beliau perlu memberi laluan kepada Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai pengganti.

Anwar kini dihukum penjara lima tahun kerana sabitan kes liwat dan bakal dibebaskan pada 8 Jun ini. Pakatan itu juga berjanji mendapatkan pengampunan diraja untuk Anwar andai berjaya menawan Putrajaya agar beliau boleh diangkat sebagai calon Perdana Menteri.

Gagal capai konsensus

Keputusan yang diumumkan semalam, sebenarnya menunjukkan parti dalam pakatan berkenaan masih tidak sehati dan gagal mencapai konsensus, namun terpaksa ‘berlakon’ supaya rakyat melihat landskap dalam pakatan itu sebagai tidak bermasalah.

Sepatutnya, ketika negara menuju ke hadapan, semestinya kita melakukan persiapan, antaranya meletakkan calon pemimpin yang ‘segar’ seperti kebanyakan negara maju lain lakukan, termasuk Kanada dan Perancis.

Pakatan empat parti itu bukannya ‘lokek’ pemimpin muda berkaliber, tetapi blok pembangkang tidak berani dan percaya dengan kebolehan serta keupayaan bakat muda sehingga terdesak menjulang Dr Mahathir.

Menamakan pemimpin ‘kitar semula’ untuk menerajui tampuk pemerintahan negara, bukan strategi bijak ketika parti lawan amat bersedia dengan pemimpin yang sudah teruji bersama pelapis berwibawa.

Penulis adalah Penganalisis politik

scroll to top