Sunday , 19 August 2018

Home » Bisnes » Subaru Outback 2.5i-S lengkap teknologi EyeSight

Subaru Outback 2.5i-S lengkap teknologi EyeSight

February 5, 2018 5:38 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Subaru Outback 2.5i-S lengkap teknologi EyeSight

Masuk pasaran tempatan menjelang suku kedua 2018.

MOTOR Image, anak syarikat Tan Chong International Ltd (TCIL) yang menjadi pengedar eksklusif kenderaan Subaru di sembilan negara Asia termasuk Malaysia, dijangka membawa masuk kenderaan utitili sukan (SUV) terbarunya, Outback 2.5i-S ke pasaran tempatan pada Mei tahun ini.

Pengarah Urusan TCIL, Glenn Tan, berkata Outback 2.5i-S yang dilancarkan sempena Pameran Automotif Singapura 2018, baru-baru ini, menawarkan pemanduan lebih mantap di samping keselesaan yang memberi tumpuan kepada elemen kemewahan serta reka bentuk luaran ranggi dan pembaharuan pada bahagian dalaman.

Beliau berkata, SUV itu dilengkapi dengan teknologi EyeSight, bertujuan meningkatkan keselamatan dari segi pemanduan.

“Buat masa ini, kita melancarkan model ini di Singapura dan akan membawa ke pasaran Malaysia menjelang suku kedua 2018,” katanya.

Dihasilkan dengan reka bentuk luaran rugged dan pembaharuan pada bahagian dalamannya, model terbaharu itu sememangnya menawarkan pemanduan lebih selesa yang menerapkan elemen serba mewah.

Selain dikuasakan enjin boxer 2.5 liter yang ditambah baik, Outback itu juga didatangkan dengan alternator baharu untuk meningkatkan kecekapan bahan api.

Malah, pembaharuan kepada alternator itu turut mengurangkan berat SUV itu sebanyak lapan peratus berbanding model sebelumnya.

Bagi model Outback baharu ini, ia juga didatangkan dengan mod manual tujuh kelajuan CVT yang mempunyai penambahbaikan pada respon pendikitnya untuk menghasilkan pecutan yang lebih sporty.

Malah, perubahan kepada CVT chain kepada ‘short pitch chain’ juga berjaya mengurangkan bunyi dari dalam kabin serta meningkatkan kecekapan bahan api kepada tiga peratus berbanding model sebelumnya.

Reka bentuk rugged

Dari segi reka bentuknya, ia mempunyai bamper depan baharu disertakan gril berbentuk hexagon, sekali gus memaparkan gaya yang lebih rugged dan kualiti tinggi.

Rim berbentuk turbinnya pula direka bentuk secara dinamik dan ringan yang akan menghasilkan aerodinamik lebih baik.

Selain itu, model baharu itu juga mempunyai beberapa fungsi baharu seperti port USB di konsol tengah belakang serta penambahan mikrofon untuk ‘voice recognition’ lebih baik.

Malah, ia turut didatangkan dengan sistem infotainment premium dengan paparan skrin resolusi tinggi lapan inci, sambungan ke telefon pintar dan penggunaan Apple CarPlay dan Androdi Auto.

INFO
Subaru Outback

Bakal masuk pasaran tempatan menjelang suku kedua 2018
Dikuaskan enjin boxer 2.5 liter

Mempunyai tambahan warna Wildwrneas Green Metallic, Crimson Red Pearl dan Oak Brown Pearl.

Mempunyai Teknologi Bantu Pemanduan Subaru EyeSight

scroll to top