Sunday , 24 March 2019

Home » Nasional » Suhakam tidak dirujuk kerajaan rangka Pota

Suhakam tidak dirujuk kerajaan rangka Pota

April 20, 2016 1:35 pm Category: Nasional A+ / A-
Suhakam tidak dirujuk kerajaan rangka Pota

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akui pihaknya tidak langsung dirujuk kerajaan dalam merangka Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) yang telah diluluskan Parlimen, 7 April tahun lalu.

Naib Pengerusinya, Datuk Khaw Lake Tee berkata, pihaknya ada mengemukakan cadangan pindaan kepada Akta Suhakam 1999 (Akta 597) antaranya untuk memberi mandat jelas kepada pihaknya sebagai pihak yang harus dirujuk oleh kerajaan dalam proses penggubalan dan pindaan undang-undang.

“Namun, cadangan ini telah ditolak kerajaan sekaligus dengan cadangan-cadangan Suruhanjaya yang lain.

“Termasuklah memberi kuasa kepada Suruhanjaya secara jelas untuk antara lain memeriksa tempat-tempat tahanan tanpa notis awal, mengambil peranan dalam kes-kes mahkamah yang menyentuh hak asasi manusia atau setidak-tidaknya muncul sebagai amicus curiae serta menjalankan proses pengantaraan,” katanya.

Mengulas lanjut, Lake Tee memberitahu lawatan ke tempat tahanan tanpa notis awal diperlukan untuk pihaknya menjalankan mandat yang diberi.

“Sekarang ini kita perlu buat notis awal kepada polis, imigresen dan sebagainya sebelum lawatan.

“Kalau kita bagi notis awal mereka akan bersihkan tempat awal-awal dan beri makanan yang sesuai,” katanya.

scroll to top