Thursday , 20 September 2018

Home » Nasional » Sukar hapus lesen terbang jika pegawai khianat

Sukar hapus lesen terbang jika pegawai khianat

September 14, 2018 3:45 pm Category: Nasional A+ / A-
Sukar hapus lesen terbang jika pegawai khianat

KUCHING,.Kementerian Pengangkutan mengakui isu pengeluaran lesen terbang akan terus berleluasa di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekiranya pegawai agensi berkenaan khianat terhadap amanah diberikan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, berkata pengeluaran lesen terbang adalah kesalahan amat serius dan disifatkan tindakan pengkhianatan kepada kerajaan dan rakyat.

“Dalam isu pengeluaran lesen terbang, sistem JPJ masih memerlukan pegawai memproses maklumat dalam agensi berkenaan. Jadi, memang ada peluang kepada orang yang diberikan amanah itu melakukan kesalahan.

“Sebab itu budaya integriti mesti kita pertingkatkan… tidak ada satupun kerajaan di dunia mampu menutup kesemua ‘lompang’ dalam sistem kerajaan kecuali sistem berkenaan tidak memerlukan pembabitan manusia.

“Sekiranya sistem masih memerlukan campur tangan manusia, kita memerlukan integriti tinggi daripada pegawai kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kelulusan (STK) Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, di Pusat Informasi Islam, Jalan Ong Tiang Swee, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 679 daripada 755 permohonan lesen bagi kegunaan perdagangan di negeri ini diluluskan, selepas tertangguh selama empat bulan berikutan proses peralihan kuasa di peringkat Pusat.

Semalam, Siew Fook mendedahkan sejumlah 14,000 pemegang lesen terbang sudah dikeluarkan di seluruh negara dan pemegang lesen itu diberi tempoh sehingga 13 Oktober depan untuk bertindak memulangkan semula lesen terbabit.

Susulan daripada pendedahan itu, seramai 12 pegawai dan anggota JPJ ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Siew Fook berkata tiada kompromi membabitkan kewibawaan JPJ kerana imej jabatan itu perlu sentiasa dihormati rakyat.

“Pihak kementerian bekerjasama rapat dengan SPRM dan kita sentiasa berhubung dengan agensi terbabit. Segala maklumat saya terima berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan akan terus saya salurkan kepada SPRM untuk tindakan susulan,” katanya.

Katanya, tindakan gantung tugas serta merta diambil sekiranya ada pegawai dan anggota didakwa di mahkamah, manakala tindakan pecat dilaksanakan jika didapati bersalah.

“Sebagai menteri dan wakil rakyat, saya terima banyak maklumat termasuk juga daripada rakyat, apa-apa maklumat saya salurkan kepada SPRM,” katanya.

47 dibaca

scroll to top