Monday , 10 December 2018

Home » Artikel Pilihan » Surat terbuka Dr Mahathir ada muslihat tertentu

Surat terbuka Dr Mahathir ada muslihat tertentu

May 5, 2018 4:17 pm Category: Artikel Pilihan A+ / A-
Surat terbuka Dr Mahathir ada muslihat tertentu

Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto AFP

KUALA LUMPUR,. Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin mempunyai ‘muslihat’ tertentu apabila menghantar surat terbuka kepada pemerintah tertinggi tentera dan polis, supaya membenarkan anggota tentera dan polis mengundi pada pilihan raya umum ke-14 nanti tanpa sebarang paksaan atau arahan tertentu.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan, berkata sepanjang pengalamannya bertugas, semua anggota polis dan tentera memang diberikan kebebasan sepenuhnya untuk memilih mana-mana calon ketika mengundi, biarpun kebanyakan menunaikan tanggungjawab berkenaan secara undi pos (sekarang undi awal).

“Sepanjang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) saya tidak pernah dengar ada arahan diberikan kepada anggota polis dan tentera untuk mengundi mana-mana siapa calon atau parti tertentu, biarpun kami mengundi secara pos.

“Anggota polis atau tentera bukannya golongan tidak berpelajaran atau buta maklumat kerana mereka boleh membaca surat khabar, menonton televisyen dan mempunyai telefon untuk mendapatkan pelbagai informasi berguna, sebelum mengundi.

“Semua anggota polis pun tahu tiada siapa termasuk Ketua Polis Negeri (CPO) melihat nama calon atau parti mana yang mereka undi pada pilihan raya.

“Jadi saya rasa Dr Mahathir mungkin ada muslihat (niat tersembunyi) apabila menghantar surat kepada pemerintah tertinggi polis dan tentera supaya tidak memberi tekanan atau mengeluarkan arahan tertentu untuk memaksa anggota dan pegawai masing-masing mengundi parti memerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan Program Bual Bicara Jom Undi terbitan The News Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook BH, Harian Metro dan New Straits Times (NST) malam tadi.

Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Datuk Seri Zaini Mohd Said, pula berkata beliau amat terkejut dengan gesaan dibuat Dr Mahathir yang juga calon pembangkang bagi kerusi Parlimen Langkawi, Kedah itu, kerana selama ini Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memang memberikan kebebasan kepada anggotanya untuk memilih wakil rakyat masing-masing.

“Kita tidak pernah menghalang atau mempengaruhi sesiapa untuk mengundi parti pemerintah atau parti lain kerana mereka diberikan kebebasan sepenuhnya untuk mengundi sesiapa sahaja.

“Malah, kita juga sentiasa berusaha untuk membawa peti undi pos ke dalam hutan untuk memastikan semua anggota dan pegawai tentera termasuk mereka terbabit dengan operasi dan menjaga sempadan negara dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi berdaftar.

“Jika beliau berpendapat kita mengawal atau mempengaruhi itu tidak benar kerana saya sendiri tidak pernah berlaku dalam sejarah perkhidmatan saya selama 36 tahun, ATM menyekat atau menghalang anggotanya mengundi. Sebab kita tahu semua anggota dan pegawai tentera amat bijak dan sukar dipengaruhi oleh sesiapa pun,” katanya yang muncul bersama dalam program bual bicara itu.

BH

scroll to top