Thursday , 29 June 2017

Home » Bisnes » Syarikat Malaysia digesa beri maklum balas

Syarikat Malaysia digesa beri maklum balas

June 16, 2017 2:14 pm Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Syarikat Malaysia digesa beri maklum balas

Datuk Seri Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan lebih banyak maklum balas daripada syarikat tempatan dalam usaha mengurangkan paras halangan tanpa tarif (NTB) dan pendekatan tanpa tarif (NTM).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata maklum balas berkenaan penting bagi memastikan cadangan pengurangan paras NTB dan NTM itu dapat dilaksanakan.

“Setakat ini, sejumlah 6,000 maklum balas yang dilaporkan daripada kalangan negara ASEAN mengenai kedua-duanya.

“Jadi, kita perlu menyediakan kad markah (score card) untuk mendapatkan maklum balas bagi menghapuskan NTM serta persetujuan bersama mengenainya di kalangan anggota ASEAN,” katanya pada sidang media selepas melancarkan ‘ASEAN Circle and Inaugural ASEAN Circle Dialogue’ di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Tan Sri Rastam Mohd Isa; Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-30 di Manila April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengusulkan cadangan setiap negara anggota ASEAN wajar memiliki kad markah bagi mengenal pasti pencapaian semasa dalam usaha mengurangkan paras NTB dan NTM.

Najib dipetik sebagai berkata, usaha bersepadu dan komitmen jitu perlu digerakkan jika ASEAN ingin mencapai sasaran mengembangkan nilai dagangan dari AS$2.6 trilion kepada AS$9.2 trilion menjelang 2050.

“Hambatan terbesar dihadapi selama ini ialah peningkatan NTB dan NTM.

Perangkaan semasa menunjukkan kedua-duanya melonjak dari 1,634 kepada 5,975 antara 2000 hingga 2015,” katanya.

scroll to top