Saturday , 15 December 2018

Home » Bisnes » ‘Tak tahu rancangan penggabungan FELDA-FELCRA’

‘Tak tahu rancangan penggabungan FELDA-FELCRA’

November 19, 2018 1:06 pm Category: Bisnes, Ekonomi, Nasional A+ / A-
‘Tak tahu rancangan penggabungan FELDA-FELCRA’

KUALA LUMPUR,. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi tidak mengetahui rancangan penggabungan di antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FELCRA.

Penggabungan itu difahamkan adalah sebahagian daripada cadangan untuk memulihkan pengurusan kewangan dan tadbir urus FELDA.

“Tidak, tidak, tidak. Saya tidak tahu mengenai perkara itu,” kata Ketua Setiausahanya, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen ketika ditanya pemberita.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Persidangan Statistik Malaysia keenam di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurut laporan sebuah akhbar kewangan mingguan di laman sesawangnya pada Sabtu lalu, cadangan penggabungan FELDA dan FELCRA adalah antara tiga cadangan yang akan dikemukakan dalam kertas putih berkaitan FELDA yang dijangka dibentangkan di dalam Dewan Rakyat bulan depan.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan akan membentangkan kertas putih pengurusan FELDA yang ‘curang’ dan tidak bertanggungjawab pada Disember ini.

Kertas itu dibentangkan berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang yang melampaui batas iaitu melebihi RM8 bilion, katanya dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR ke-13 di Shah Alam.

Terdahulu, Saiful Anuar ketika membacakan teks ucapan Mohamed Azmin, berkata ringgit muncul salah satu daripada mata wang pasaran sedang pesat membangun yang terbaik sehingga 31 Oktober lalu.

“Malaysia berdepan prospek aliran keluar bersih dana asing yang tidak boleh dielakkan. Walaupun ini akan memberi tekanan kepada ringgit, keyakinan dalam ekonomi negara dan lebihan akaun semasa akan menyediakan sokongan kepada mata wang tempatan dan mengelakkan kenaikan kadar faedah yang tinggi,” katanya.

Sementara itu dalam sidang media berasingan Mohd Uzir, berkata negara memerlukan sekurang-kurangnya 15,000 saintis data menjelang tahun 2020.

Katanya, saintis data kini menjadi keperluan penting sama seperti keperluan untuk mempunyai guru di sekolah.

“Jika sebelum ini kita kata guru sentiasa diperlukan, dalam hubungan ini untuk kita memastikan negara dapat terus berkembang maju, kita memerlukan saintis data yang betul-betul pakar.

“Masalah kekurangan saintis data ini bukan saja dialami di Malaysia, tetapi di seluruh dunia,” katanya.

scroll to top