Thursday , 20 June 2019

Home » Bisnes » Tarikh operasi 737 MAX gagal diputus

Tarikh operasi 737 MAX gagal diputus

May 24, 2019 10:48 am Category: Bisnes, Dunia A+ / A-
Tarikh operasi 737 MAX gagal diputus

Pesawat Boeing 737 MAX. - Foto AFP

FORT WORTH,. United States: Pentadbiran penerbangan awam dari seluruh dunia gagal menentukan tarikh bila pesawat Boeing 737 MAX boleh kembali beroperasi selepas digantung susulan dua kemalangan membabitkan pesawat itu.

“Satu-satunya jadual adalah untuk memastikan pesawat itu selamat untuk terbang. Terdapat ‘perjanjian untuk melanjutkan dialog,” kata Ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, Amerika Syarikat (FAA), Daniel Elwell, pada akhir pertemuan di Texas.

Katanya, dalam hal itu beliau sedar dan mengakui setiap negara perlu membuat keputusan sendiri.

Sejak pesawat 737 MAX terhempas di Ethiopia pada Mac dan Indonesia pada Oktober tahun lalu menyebabkan kematian keseluruhan 346 orang, pada kebiasaan amalan, pengawal selia udara akan mengikuti perkembangan penilaian agensi terhadap model pesawat dalam kes ini ia membabitkan FAA.

Pada Rabu lalu, Elwell gagal memberikan harapan bahawa masalah itu akan segera diselesaikan, selepas Boeing membuat keputusan menangguhkan penghantaran cadangan perisian untuk penilaian selepas agensi itu mengemukakan beberapa soalan tambahan.

Setakat ini, penyiasat menumpukan siasatan terhadap Sistem Anti-Pegun (MCAS) dalam dua kes kemalangan.

Minggu lalu, Boeing berkata kemas kini MCAS sudah siap untuk proses pemeriksaan, dan penerbangan Amerika Syarikat berharap pesawat itu boleh kembali beroperasi tepat pada masa musim panas.

Bagaimanapun, Elwell semalam berkata proses itu boleh mengambil masa sehingga sebulan, dua bulan atau lebih lama.

“Semua ditentukan oleh penemuan kami dalam analisa aplikasi,” katanya kepada CNBC.

Sebaik saja Boeing sudah menghantar semua dokumen, FAA akan mengadakan ujian penerbangan dan analisis terperinci untuk menilai keselamatan perisian itu.

Penganalisa di Kumpulan Teal, Richard Aboulafia berkata, Boieng sebenarnya cuba mengelak melakukan proses berulang.

“Terdapat banyak perkara yang perlu dipertimbangkan terutama daripada segi tanggapan awal oleh pentadbiran penerbangan awam dunia,” katanya kepada AFP. – AFP

scroll to top