Saturday , 16 December 2017

Home » Bisnes » Teknologi membran UTM tembusi pasaran Kuwait

Teknologi membran UTM tembusi pasaran Kuwait

June 19, 2017 1:47 pm Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
Teknologi membran UTM tembusi pasaran Kuwait

PENYELIDIK-PENYELIDIK di Water Research Center, Kuwait Institute for Scientific Research (KISR) semasa pengoperasian peralatan dan pembuatan membran gentian geronggang. - Foto ihsan UTM Kkudai

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC), mencipta kejayaan apabila produk dan pemindahan teknologi membran gentian untuk rawatan air dihasilkan berhasil menembusi pasaran Kuwait.

Pengarah AMTEC, Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail, berkata pihaknya berjaya membekalkan produk dan pemindahan teknologi itu kepada Water Research Centre, Kuwait Institute for Scientific Research (KISR) menerusi bidaan terbuka, baru-baru ini.

Katanya, produk yang dikenali ‘Customized Hollow Fiber Membrane Spinning System’ itu dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik AMTEC yang akan digunakan dalam kajian teknologi pemisahan dan rawatan air.

“Produk ini adalah sistem yang direka khas untuk digunakan bagi penghasilan membran gentian geronggang dalam pelbagai jenis dan saiz bergantung kepada pengaplikasiannya.

“Seramai dua penyelidik dari AMTEC, termasuk jurutera projek berkenaan, Ng Be Cheer berada di Kuwait dari 11 hingga 15 Jun lalu untuk memberikan latihan dan kursus kepada penyelidik di KISR,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fauzi yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM berkata, AMTEC dijangka terus melebarkan hasil penjanaan pendapatan melalui pembangunan dan pembekalan sistem berasaskan teknologi membran menerusi kerjasama penyelidikan pada masa hadapan.

Katanya, produk membran yang dihasilkan AMTEC sudah dipasarkan ke luar negara iaitu di Universiti King Fahd, Arab Saudi; Universiti Prince of Songkla, Thailand dan COMSATS Institute of Information Technology Pakistan selain pasaran di Malaysia.

“Hasil perbincangan lanjut, KISR berminat untuk menggunakan teknologi membran yang diperkenalkan oleh AMTEC bagi membangunkan sistem rawatan air yang berkonsepkan sifar bahan buangan cecair,” katanya.

Dalam pada itu, katanya KISR mahu memajukan penyelidikan berasaskan teknologi membran bagi perawatan air laut dan rawatan air sisa bagi kelestarian penggunaan air di Kuwait.

scroll to top