Monday , 22 October 2018

Home » Bisnes » Telco perlu pastikan kelajuan internet seperti dijanjikan

Telco perlu pastikan kelajuan internet seperti dijanjikan

October 6, 2018 3:49 pm Category: Bisnes, Nasional, Teknologi A+ / A-
Telco perlu pastikan kelajuan internet seperti dijanjikan

PORT DICKSON,. Semua syarikat telekomunikasi (Telco) yang menawarkan pakej perkhidmatan internet perlu memastikan pengguna mendapat kelajuan internet seperti yang ditawarkan dalam pakej-pakej mereka, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Katanya kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya jika kelajuan internet yang dinikmati pelanggan tidak sama seperti yang dijanjikan dalam pakej.

“Semua Telco ini kena faham, bila mereka mengeluarkan pakej baharu, mereka sebut dengan kelajuan yang lebih tinggi dan kos lebih rendah, jadi mereka kena pastikan bahawa kelajuan yang pelanggan dapat selaras dengan apa yang dijanjikan.

“Jadi saya minta mereka tingkatkan pemantauan mengenai perkara ini, ‘mereka perlu periksa bahawa kelajuan yang dinikmati pelanggan adalah kelajuan yang mereka kata pelanggan akan dapat seperti dinyatakan dalam pakej mereka. Saya juga minta syarikat Telco untuk wujudkan biro aduan dan aduan ini mesti dikaji secara mendalam, cepat dan efektif,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau turut menggesa syarikat telekomunikasi untuk mengkaji semula pakej-pakej internet lama yang ditawarkan kepada pelanggan masing-masing supaya dapat dikurangkan harga.

Katanya, kerajaan amat mengalu-alukan tawaran pakej baharu oleh syarikat-syarikat tersebut yang menyajikan kelajuan internet lebih baik pada harga yang lebih murah, namun mereka juga perlu menghargai pelanggan mereka yang masih melanggan pakej-pakej lama.

“Bagi pihak kita kementerian, saya telah beritahu SKMM yang kami serius, apabila kami kata kami mahu harga lebih rendah, kelajuan lebih laju, kami adalah serius,” katanya.

Sementara itu, Gobind Singh berkata kerajaan sedang berusaha untuk menyemak harga standard minimum dan munasabah bagi perkhidmatan internet dan SKMM akan mengumumkan perkara itu esok.

Dalam pada itu, ditanya mengenai sama ada kehadirannya di Port Dickson hari ini adalah kerana komen calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kelajuan internet di sini yang kurang memuaskan, beliau berkata perkara itu sepatutnya tidak timbul.

Gobind Singh yang juga timbalan pengerusi DAP berkata beliau hadir di sini untuk berkempen bagi Anwar atas semangat setiakawan dan kesatuan dalam PH.

“Kita datang untuk kempen kerana kita ini sahabat yang akrab dengan Anwar. Beliau kawan baik saya… saya berada di sini untuk menyokong beliau. Saya berada di sini bukan sebagai menteri, saya berada di sini sebagai Gobind Singh Deo dan saya juga Anggota Parlimen Puchong,” katanya.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR, untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

PRK itu menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Anwar, calon PAS Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan serta bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan kaum-kaum lain (dua peratus).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Okt ini sebagai hari pengundian dan Selasa depan (9 Okt) sebagai hari pengundian awal.

— BERNAMA

scroll to top