Saturday , 17 November 2018

Home » Nasional » Tengku Abdullah mahu wakil rakyat hormati mandat diberikan

Tengku Abdullah mahu wakil rakyat hormati mandat diberikan

July 23, 2018 1:42 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Tengku Abdullah mahu wakil rakyat hormati mandat diberikan

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyerahkan teks titah ucapan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas Perasmian Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang. - Foto Zulkipli Osman

KUANTAN,. Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu menghormati mandat diberikan dengan melaksanakan tugas dengan baik.

Baginda bertitah, rakyat sudah membuat pilihan dan menjadi tanggung jawab wakil rakyat menjalankan peranan dengan berkesan bagi menjaga kepentingan serta kesejahteraan rakyat.

“Kepercayaan diberikan (rakyat) datang dengan amanah yang perlu digalas… amanah diberikan oleh rakyat ini bukan boleh dipersenda dan diabaikan.

“Saya berharap semua wakil rakyat dipilih dapat menjalankan tugas mereka, terutamanya kerajaan negeri dalam meningkatkan kemakmuran negeri di samping menjadikan negeri Pahang sebagai tumpuan pelbagai industri seperti hub industri halal, bioteknologi, teknologi maklumat dan agroteknologi selain memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan penternakan,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Tengku Abdullah juga berharap kerajaan Pusat meneruskan 300 projek dianggarkan bernilai kira-kira RM2.2 bilion yang diluluskan di Pahang dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Sudah pasti pelaksanaan projek ini akan membawa limpahan ekonomi kepada penduduk di negeri ini… saya mahu ia dapat diteruskan antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat, bekerjasama tanpa mengira perbezaan politik.

“Saya juga berharap kerajaan negeri akan terus menyokong usaha kerajaan Pusat dalam meningkatkan pembangunan ekonomi negara dan Pahang,” titahnya.

Baginda turut meminta kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap usaha menjadikan Pahang sebagai antara pengeluar makanan hasil ternakan utama di negeri ini.

“Saya inginkan semua pihak berganding bahu dalam memastikan sektor pertanian ini dapat berkembang pada kadar 3.6 peratus. Bagi tujuan mencapai hasrat ini, kerajaan negeri wajar menggalakkan penggunaan teknologi yang mampu meningkatkan produktiviti,” titahnya.

Tengku Abdullah berharap, kerajaan negeri juga meneroka pendapatan baharu berbanding mengharapkan perolehan melalui hasil hutan yang selama ini menjadi punca pendapatan utama.

Walaupun tidak dinafikan sektor perhutanan boleh membekalkan sumber pendapatan lumayan, namun, baginda bertitah aktiviti pembalakan tidak terkawal boleh mengakibatkan kemusnahan hutan yang akan memberi kesan kepada alam semula jadi.

“Dalam menguruskan khazanah hutan negeri, saya meminta Jabatan Perhutanan Negeri Pahang memperkasakan amalan pengurusan hutan secara lebih holistik.

“Penggunaan teknologi moden seperti ‘remote sensing’ dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) perlu diperluaskan… begitu juga penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) dalam memantau sebarang aktiviti pembalakan haram yang masih berlaku di negeri ini,” titahnya.

scroll to top