Friday , 17 August 2018

Home » Dunia » Tentera Syria serang Idlib, gugur risalah serah diri

Tentera Syria serang Idlib, gugur risalah serah diri

August 10, 2018 11:23 am Category: Dunia A+ / A-
Tentera Syria serang Idlib, gugur risalah serah diri

Jan Egeland

SARAQEB,. Tentera rejim Syria mengebom kedudukan pemberontak dan militan di wilayah barat laut Idlib semalam serta menggugurkan risalah menggesa penduduk menyerah diri.

Wilayah itu adalah bahagian terbesar kawasan yang masih di tangan pemberontak dan Presiden Bashar al-Assad memberi amaran, langkah itu menjadi keutamaan berikutnya.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merayu semalam supaya rundingan diadakan bagi mengelak satu pertumpahan darah orang awam di Idlib, bersempadan dengan Turki.

“Peperangan tidak boleh dibenarkan berlaku di Idlib,” kata ketua pasukan tugas kemanusiaan PBB untuk Syria, Jan Egeland kepada media di Geneva.

Egeland berkata, beliau masih berharap usaha diplomatik dapat mengelak tentangan darat besar-besaran yang akan memaksa ratusan ribu penduduk melarikan diri.

“Keadaan sangat teruk di Idlib kini. Ia mungkin 100 kali ganda lebih teruk,” kata Egeland.

Amaran itu dibuat ketika helikopter kerajaan menggugurkan risalah di bandar timur Idlib, menggesa penduduk menyerah diri, kata koresponden AFP.

“Perang hampir tamat. Kami menggesa anda menyertai penyatuan tempatan, seperti mana dilakukan majoriti rakyat Syria lain,” kata risalah ditanda cop mohor tentera.

Perjanjian menyerah diri seperti itu sering ditawarkan sekutu rejim, Russia. Ia menyaksikan pemberontak menyerahkan jajahan kepada tentera kerajaan sebagai pertukaran pemberhentian serangan, mengembalikan institusi negeri dan peluang menyertai pasukan rejim atau diusir dari kawasan itu.

“Nasib keluarga, anak dan masa depan anda bergantung kepada keputusan anda,” risalah itu memberi amaran.

Serangan roket pagi semalam mengenai jajahan di sekitar Jisr al-Shughur, bandar utama di sebelah barat daya wilayah itu, menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).

“Pengeboman itu sebagai persediaan serangan mungkin rejim di kawasan itu,” kata ketua SOHR, Rami Abdel Rahman merujuk Jisr al-Shughur.

Namun katanya, nasib baki kawasan wilayah itu bergantung kepada mana-mana perjanjian antara broker utama Russia dan Turki.

Jisr al-Shughur terletak berhampiran sempadan pentadbiran dengan wilayah Latakia dan Hama.

“Pasukan rejim bersama peralatan, tentera, kenderaan dan senjata tiba sejak Selasa lalu,” katanya.

Mereka tiba di tiga kawasan ditawan rejim, wilayah Latakia di barat Jisr al-Shughur, dataran Sahl al-Ghab ke selatan wilayah Hama dan sekitar tenggara wilayah yang sudah di tangan kerajaan.

-AFP

scroll to top