Monday , 24 September 2018

Home » Nasional » Terengganu mahu majoriti dua pertiga

Terengganu mahu majoriti dua pertiga

March 14, 2018 8:58 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Terengganu mahu majoriti dua pertiga

KUALA TERENGGANU: Semangat Gelombang Biru yang kian membara di Terengganu dijangka memberi kelebihan untuk Barisan Nasional (BN) negeri penyu ini menang bergaya dengan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Selepas reda dengan perbezaan hanya dua kerusi pada PRU-13, iaitu 17-15, Terengganu dijangka dapat mengembalikan semula kemenangan dua pertiga seperti yang direkodkan pada PRU-12.

Bersandar kuat pada slogan ‘Terengganu Molek Doh’ yang diperkenalkan sejak awal tahun ini, ia dianggap sangat tepat untuk menggambarkan pencapaian dan kejayaan Terengganu.

Di kedai kopi mahupun di kampung, pasar pagi dan tidak ketinggalan juga dalam kalangan pelajar sekolah, kesederhanaan dan kecekapan pentadbiran kerajaan Terengganu pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman sering menjadi topik perbualan.

Ternyata, menerusi kempen ‘Terengganu Molek Doh’, rintangan dalam memenangi hati segelintir rakyat yang dihadapi sebelum ini semakin terhakis dan rakyat mula mendapat pandangan yang betul mengenai pencapaian, kejayaan dan pembangunan dirancang kerajaan negeri ketika ini dan masa depan.

Kisah kejayaan negeri

Dengan pelbagai kisah kejayaan Terengganu yang dipaparkan pada Ekspo Terengganu 2018 di Kuala Nerus, baru-baru ini, ia diakui banyak mengubah persepsi penduduk negeri ini mengenai warna sebenar BN, parti yang perlu dikekalkan untuk terus menerajui tampuk pemerintahan negeri ini.

Andai PAS berbangga dengan kejayaannya menarik 200,000 hadirin pada acara Fastaqim 2.0 di lokasi sama pada Oktober tahun lalu, Ekspo Terengganu pula merekod kejayaan jauh lebih besar dengan hampir 700,000 pengunjung.

Ia jauh melebihi sasaran awal 400,000 pengunjung untuk menyaksikan 144 pameran kisah kejayaan dan pelbagai perancangan pembangunan kerajaan Terengganu untuk rakyat negeri yang terkenal dengan nasi dagang ini.

Pentas Fastaqim 2.0 hanya menjadi medan dan pentas ceramah politik, yang tidak lari daripada menghentam kerajaan tanpa asas.

Jentera BN kini dilihat sudah cukup bersedia untuk berdepan PRU-14, dengan 366 pusat mengundi di lapan daerah hanya menunggu masa untuk digerakkan.

Kemenangan besar BN Terengganu untuk PRU-14 bukan mustahil lantaran Ahmad Razif selaku Pengerusi BN negeri juga serius dalam memastikan setiap peringkat akar umbi tidak kira di bahagian atau cawangan, memainkan peranan masing-masing.

Penganalisis politik yang menyaksikan persediaan UMNO dan BN untuk PRU-14, percaya jentera parti itu dalam keadaan terbaik bukan saja untuk mempertahankan 17 kawasan yang dimenangi pada PRU-13, tetapi juga merampas sebahagian daripada 15 kerusi yang kalah kepada pembangkang sebelum ini.

Setidak-tidaknya, dua lagi kawasan iaitu Manir di Hulu Terengganu dan Chukai di Kemaman diramalkan mampu dirampas kembali oleh BN pada PRU kali ini.

Bagaimanapun, kemenangan Chukai yang kini dipimpin wakil rakyat daripada PAS, Hanafiah Mat, dilihat sangat bergantung kepada pengundi Cina yang jumlahnya kini 5,750 (5.41 peratus).

Kesedaran pengundi terhadap keupayaan wakil rakyat pembangkang itu yang gagal dalam membela kebajikan penduduk, selain membawa kemakmuran dan pembangunan di kawasan mereka boleh dijadikan kayu pengukur untuk BN kembali merampas kerusi itu.

Keperibadian calon

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir pula sangat bergantung kepada keperibadian calon yang dipilih untuk mewakili parti.

Apa yang lebih penting, soal pemikiran pengundi di Manir yang sering kali dimomokkan dengan penipuan pembangkang terhadap projek dilaksanakan kerajaan BN seperti perumahan, harus terlebih dahulu ‘disucikan’ jika BN mahu menang kerusi ini.

Penganalisis juga percaya BN mampu menawan semula Rantau Abang dan Paka di Parlimen Dungun dan Alur Limbat serta Bukit Payong di Marang, selain peluang untuk memenangi kerusi Ladang di Kuala Terengganu.

scroll to top