Wednesday , 14 November 2018

Home » Nasional » Terlalu awal bekerjasama dengan PKR – Bung Moktar

Terlalu awal bekerjasama dengan PKR – Bung Moktar

September 15, 2018 8:09 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Terlalu awal bekerjasama dengan PKR – Bung Moktar

Datuk Seri Bung Moktar Radin. - Foto NSTP

KOTA KINABALU,. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan mengetahui apa-apa rancangan dalam kalangan ahli UMNO untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bung Moktar berkata, beliau tidak faham maksud bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz apabila menyebut rancangan Ahli Parlimen UMNO berhubung kerjasama itu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, berkata tidak ada perundingan antara UMNO dengan PKR dan satu-satunya rancangan diketahuinya ialah mencari jalan memperkuatkan UMNO.

“Sebagai Ketua UMNO bahagian, Nazri tidak boleh berkempen untuk parti lain,” katanya mengulas isu kerjasama dengan PKR yang dinyatakan Mohamed Nazri seperti dilaporkan media, baru-baru ini.

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, dilaporkan berkata beliau akan berkempen bagi memastikan kemenangan Anwar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Mohamed Nazri juga dilaporkan menolak kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa parti itu akan menentang Anwar habis-habisan.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata UMNO bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, termasuk PKR dan Anwar yang disifatkannya sebagai ‘pemimpin hebat’.

“Saya kenal rapat Anwar dan negara beruntung jika beliau menjadi Perdana Menteri. Jika beliau bersedia bekerja dengan kita, kita juga sedia bekerja dengannya.

“Akan tetapi buat masa ini tidak ada rancangan ke arah itu,” katanya.

scroll to top