Thursday , 18 January 2018

Home » Nasional » Terowong Dasar Laut: Kadar tukaran wang asing dipersoal

Terowong Dasar Laut: Kadar tukaran wang asing dipersoal

January 12, 2018 5:02 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Terowong Dasar Laut: Kadar tukaran wang asing dipersoal

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang juga Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow menunjukkan kenyataan mengenai isu terowong dasar laut di Pulau Pinang oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan semasa sidang media di Pejabat GERAKAN Pulau Pinang, Jalan Macalister. - Foto Mikail Ong

GEORGETOWN,. Kadar tukaran mata wang asing yang diguna pakai kerajaan negeri pimpinan DAP dalam transaksi pembayaran kajian projek tiga lebuh raya dan terowong dasar laut terus dipertikai.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, berkata terdapat unsur meragukan apabila bekas Rakan Pelaksana Projek (PDP) projek terbabit, China Railway Construction Corporation Ltd (CRCC), mendakwa kos kajian adalah kira-kira RM88 juta sahaja.

Katanya, CRCC melalui laman webnya pada 2016 sudah menjelaskan kos kajian semua projek berkenaan USD22 juta dan berdasarkan tukaran wang semasa nilainya adalah RM88 juta, berbeza daripada nilai RM208 juta yang dinyatakan kerajaan negeri.

“Berdasarkan kenyataan rasmi CRCC dan kadar tukaran RM4 kepada USD1, kos kajian pembinaan tiga lebuh raya dan terowong dasar laut adalah sekitar RM88 juta tetapi kerajaan negeri membayar sehingga RM208 juta.

“Jika benar kerajaan negeri membayar jumlah itu (RM208 juta), ini bermakna kadar tukaran adalah RM9.45 kepada USD1.

“Bilakah masanya kadar tukaran Ringgit Malaysia mencecah sehingga RM9.45 bagi setiap USD1?,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Syarikat CRCC, sebelum ini menganggotai Konsortium Zenith-BUCG yang dipilih kerajaan negeri bagi melaksanakan pembinaan tiga lebuh raya dan terowong dasar laut, namun dikeluarkan susulan kejadian kren besi jatuh di Subang Jaya pada 2016.

Chang Yeow berkata, sebelum ini pihaknya pernah mendedahkan mengenai transaksi pembayaran kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk bagi projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya dibuat pada kadar tidak munasabah, namun tiada penjelasan diberikan kerajaan negeri sehingga kini.

“Kerajaan negeri juga tidak boleh menyatakan CRCC kini bukan lagi antara PDP bagi projek mega berkenaan sebagai alasan untuk pentadbiran mereka tidak mengemukakan penjelasan mengenai perkara ini.

“Kita juga sedia menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan negeri, jika mereka gagal mengemukakan penjelasan sewajarnya bagi setiap persoalan berbangkit bagi isu ini,” katanya.

BH

scroll to top