Monday , 10 December 2018

Home » Dunia » Tersilap pintu keluar pesawat dianggap tandas

Tersilap pintu keluar pesawat dianggap tandas

September 26, 2018 4:58 pm Category: Dunia A+ / A-
Tersilap pintu keluar pesawat dianggap tandas

MUMBAI,. Seorang penumpang warga India mencetuskan suasana panik penumpang lain dalam sebuah pesawat ketika di udara apabila cuba membuka pintu keluar kerana tersalah anggap ia pintu tandas, menurut laporan.

Lelaki itu menaiki pesawat GoAir dari New Delhi ke Patna pada Sabtu lalu apabila cuba membuka pintu keluar belakang pesawat, kata syarikat penerbangan berkenaan.

“Seorang lagi penumpang segera memberi amaran dan kru sempat menyekat lelaki terbabit daripada membuka pintu keluar,” menurut kenyataan GoAir, hari ini.

Media India pula melaporkan bahawa lelaki terbabit berada dalam lingkungan usia 20-an dan kali pertama menaiki pesawat.

“Apabila penumpang lain bertanya apa yang cuba dilakukannya, lelaki berkata dia perlu segera menggunakan tandas dan beberapa kali cuba membuka pintu keluar.

“Keadaan menjadi kacau bilau kerana keadaan itu sebelum dia disekat dan diserah kepada kami,” lapor The Telegraph, akhbar berpejabat di Kolkata, memetik seorang pegawai sebagai berkata.

“Dia kata dia keliru kerana menaiki pesawat buat kali pertama dalam hidupnya,” kata pegawai itu, Mohammad Sanowar Khan.

GoAir berkata, penumpang itu kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut selepas pesawat selamat mendarat di destinasi.

Jurucakap syarikat penerbangan itu juga memberitahu, lelaki itu tidak akan berjaya membuka pintu itu kerana tekanan udara di kabin.

Kejadian itu berlaku hampir seminggu selepas satu kesilapan teknikal menyebabkan lebih 30 penumpang Jet Airways berdarah di hidung dan telinga kerana kru terlupa menghidupkan suis mengawal tekanan udara.

– AFP

scroll to top