Wednesday , 17 July 2019

Home » Bisnes » Thailand kekalkan kadar dasar, bimbang dengan pengukuhan Baht

Thailand kekalkan kadar dasar, bimbang dengan pengukuhan Baht

June 27, 2019 7:15 am Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Thailand kekalkan kadar dasar, bimbang dengan pengukuhan Baht

BANGKOK,. Bank Thailand hari ini mengumumkan ia akan mengekalkan kadar dasarnya pada 1.75 peratus pada empat mesyuarat berturut-turut berikutan pertumbuhan ekonomi yang semakin lemah dan pengukuhan mata wang.

Penolong Gabenor dan Setiausaha Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), Titanun Mallikamas, berkata jawatankuasa mengundi sebulat suara untuk mengekalkan kadar dasar.

Dalam membincangkan mengenai keputusan dasar itu, beliau berkata jawatankuasa membuat penilaian bahawa ekonomi Thailand akan berkembang lebih perlahan daripada penilaian sebelumnya sebahagian besarnya disebabkan oleh eksport barangan dan perkhidmatan.

“Inflasi diunjurkan pada kadar yang sama dengan unjuran sebelum ini. Keadaan kewangan secara menyeluruh kekal akomodatif dan kondusif kepada pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun, wujud pelbagai risiko terhadap kestabilan kewangan di masa depan yang memerlukan pemantauan berterusan.

“Jawatankuasa berpandangan pendirian dasar monetari akomodatif semasa menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi berterusan dan sesuai dengan sasaran inflasi. Oleh itu, jawatankuasa mengundi untuk menetapkan kadar dasar tidak berubah pada mesyuarat ini,” katanya.

Berhubung kadar tukaran wang, Titanun berkata baht mencatatkan kenaikan dengan pantas dan mengukuh berbanding mata wang serantau, disebabkan penyusutan dolar US, aliran masuk modal jangka pendek dan faktor domestik.

“Jawatankuasa bimbang dengan kenaikan baht yang mungkin tidak selari dengan asas-asas ekonomi, dan akan terus memantau dengan teliti perkembangan kadar tukaran wang dan aliran masuk modal,” katanya.

Beliau berkata ekonomi Thailand akan berkembang pada tahap lebih perlahan disebabkan oleh momentum permintaan luaran yang semakin lemah.

Katanya jawatankuasa akan terus memantau perkembangan pertumbuhan ekonomi, inflasi dan kestabilan kewangan, serta risiko berkaitan, khususnya impak daripada ketegangan perdagangan, dalam membincangkan dasar monetari yang sesuai untuk tempoh akan datang.

— BERNAMA

scroll to top