Wednesday , 14 November 2018

Home » Artikel Pilihan » Tiada lagi duta dari ahli politik – Saifuddin

Tiada lagi duta dari ahli politik – Saifuddin

July 10, 2018 7:39 am Category: Artikel Pilihan, Nasional A+ / A-
Tiada lagi duta dari ahli politik – Saifuddin

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah

SHAH ALAM,. Kementerian Luar membuat ketetapan tiada lagi ahli politik akan dilantik menjadi duta seperti dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sebaliknya pelantikan duta kini akan dibuat dalam kalangan pegawai yang berminat serta tahu berkenaan tugas sebagai duta.

“(Duta) Mesti daripada kalangan diplomat yang terlatih dan mampu menjalankan tugas mereka dengan baik.

“Ini juga cara mengelakkan (masalah) politik berlaku,” katanya ketika ditemui media selepas menjadi tetamu program Bicara Minda ‘Malaysia Baharu’ di sini, hari ini.

Isu pemberhentian penjawat awam berstatus kontrak secara lantikan politik, timbul susulan peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini mendedahkan bahawa pentadbiran kerajaan terdahulu melantik 17,000 pegawai dan kakitangan secara lantikan politik yang disifatkan terlalu ramai, termasuk duta yang tidak mempunyai kebolehan dan pengalaman tetapi menikmati gaji tinggi.

Media sebelum ini melaporkan bahawa antara duta lantikan politik ialah Duta Besar ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim; Duta Besar ke Holy See, Vatican City, Tan Sri Bernard Dompok; dan Duta Besar ke Finland, Puan Sri Blanche Olbery.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Sekretariat PH, menegaskan yang duta baharu yang akan dilantik juga perlu mengikut proses yang ditetapkan.

“Wisma Putra memang sudah ada kaedah lantikan (duta) dan pegawai yang berminat boleh memohon.

“Berkenaan status duta (lantikan politik) sekarang, ia dianggap selesai selepas seorang daripadanya sudah pulang dan seorang lagi mengesahkan akan pulang,” katanya.

scroll to top