Sunday , 16 December 2018

Home » Nasional » Tiada lagi tindakan diambil terhadap pihak yang mahu jatuhkan MB Perak

Tiada lagi tindakan diambil terhadap pihak yang mahu jatuhkan MB Perak

December 7, 2018 2:10 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Tiada lagi tindakan diambil terhadap pihak yang mahu jatuhkan MB Perak

Ahmad Faizal Azumu

IPOH,. Tiada tindakan akan diambil terhadap pihak yang ingin menjatuhkan saya sebagai Menteri Besar selagi siasatan pihak berkuasa berhubung kes berkenaan belum selesai sepenuhnya, demikian kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata, setakat ini pihaknya tidak melihat kesalahan yang dilakukan oleh anggota exco Kerajaan Negeri yang digambarkan sebagai dalang komplot untuk menjatuhkan Menteri Besar seperti mana didakwa Ketua Pembangkang Datuk Saarani Mohamad sebelum ini.

“We don’t see any wrong doing within the exco member or PH members, so why we take any action…but if the authorities like MACC (Malaysian Anti-Corruption Commission) and police think that there is a wrong attempt to topple the menteri besar (“Kita tidak melihat sebarang perbuatan salah dalam kalangan anggota exco atau anggota PH, jadi kenapa kita perlu ambil sebarang tindakan…. tetapi jika pihak berkuasa seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan polis berpendapat bahawa terdapat cubaan untuk menjatuhkan Menteri Besar).

“…kita mengalu-alukan dan serahkan kepada pihak berkuasa (untuk melakukan siasatan lanjut),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Berkhatan anjuran Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun yang disertai kira-kira 20 kanak-kanak pelbagai peringkat usia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada PH akan mengambil tindakan terhadap pihak yang ingin menjatuhkannya.

Selasa lepas, Saarani semasa perbahasan Belanjawan 2019 pada persidangan Dewan Undangan Negeri seolah-olah menggambarkan Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Dr Abdul Aziz Bari sebagai dalang komplot untuk menjatuhkan Menteri Besar.

Bagaimanapun, Abdul Aziz yang juga Anggota Dewan Undangan (ADUN) Negeri Tebing Tinggi menafikannya dan menyifatkan dakwaan Saarani sebagai satu ‘cerita kartun’ serta gimik murahan untuk menarik perhatian dalam politik.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Perak telah memanggil Saarani yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri serta lima ADUN dari parti itu iaitu ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Datuk Sham Mat Sahat (Alor Pongsu), Khairul Shahril Mohamed (Bota), Maslin Sham Razman (Bukit Chandan) dan Dr Jurij Jalaluddin (Lubuk Merbau).

Rabu lepas, Abdul Aziz telah memberi keterangan selama dua jam kepada SPRM negeri mengenai isu fitnah menjatuhkan Menteri Besar.

— BERNAMA

scroll to top